Pages

Wednesday, February 25, 2015

Kitab Asas Dalam Mempelajari Ilmu Sorof

الصرف أم العلوم والنحو أبوها
Ilmu sorof itu ibu bagi segala ilmu dan ilmu nahwu itu bapanya.. kata-kata ini jelas menggambarkan ketinggian darjat ilmu sorof dan nahwu serta kemuliaannya. Ini kerana sumber utama ilmu (iaitu Al-Quran dan As-Sunnah) hanya dapat difahami dengan kefahaman yang sahih oleh orang yang menguasai bahasa Arab dan usul-usulnya, disamping penguasaannya terhadap ilmu-ilmu lain seperti usul tafsir dan mustholah hadis.

Kepentingan mempelajari ilmu sorof
seseorang yang menguasai ilmu sorof mampu untuk merubah sesuatu subjek dari suatu bentuk tertentu yang memberi makna yang tertentu kepada bentuk lain yang memberi makna lain. Contohnya:
- subjek طَعِمَ bermakna perbuatan makan pada waktu yang telah lalu. apabila diubah bentuknya kepada يَطْعَمُ maka ia bererti perbuatan makan pada waktu sekarang atau akan datang. apabila subjek yang sama diubah bentuknya menjadi مَطْعَمٌ maka ia memberi makna tempat di mana perbuatan makan dilakukan atau masa perbuatan makan dilakukan.
- subjek طَعِمَ yang bermakna perbuatan makan, apabila dimasukkan أ dihadapannya menjadi أَطْعَمَ maka ia memberi erti memberi makan. Dan apabila subjek yang sama ditambah padanya استـ menjadi استَطْعَمَ maka ia memberi erti minta diberi makan. contoh dalam bentuk ayat bagi subjek-subjek tersebut:
   َطَعِمَ زيدٌ الأرز  -  Zaid makan nasi.
   أَطْعَمَ زيدٌ الفقيرَ  -  Zaid memberi makan pada si fakir itu.
   استَطْعَم الفقيرُ زيداً  -  Si fakir itu meminta dari Zaid agar diberi makanan.
- suatu subjek yang ditambah استـ padanya, boleh memberi erti permintaan seperti استغفر (minta pengampunan) dan استسقى (minta diberi minuman), boleh juga bererti hiperbola seperti استعظم (sangat besar atau sangat mulia) dan boleh juga memberi erti-erti yang lain.
Semua ilmu yag berkaitan dengan perubahan sesuatu subjek, perubahan maknanya, cara menyebut sesuatu subjek dan semua yang berkaitan dengan hal-hal ini terkumpul dalam ilmu sorof. Oleh itu penguasaan ilmu ini merupakan suatu kemestian bagi orang yang ingin menggali ilmu-ilmu Islam.

Kitab-kitab asas ilmu sorof

Sebaiknya bagi pelajar yang ingin memulakan pembelajaran ilmu ini, hendaklah bermula dengan menghafal matan amsilah tasrifiyyah karangan Kiyai Ma'sum Bin Ali.



Di dalam kitab ini, beliau menyenaraikan semua wazan fe'el tidak kira sama ada fe'el tersebut mujarrad atau mazid, mulhaq atau tidak, sohih atau tidak. selain itu beliau juga menerangkan faedah-faedah penambahan huruf pada sesuatu subjek fe'el. Matan ini wajib dihafal oleh penuntut ilmu kerana asas dalam menguasai ilmu ini adalah menguasai bentuk-bentuk wazan yang akan diaplikasikan pada subjek-subjek fe'el yang lain yang sesuai dengan wazan tersebut. Kemudian disusuli kitab qawaid i'lal dan qawaid tasrif yang keduanya ini menjelaskan isi kandungan matan amsilah tasrifiyyah dan menghuraikan illah-illah yang terdapat pada sesuatu fe'el serta kaedah memperbaikinya.





Seterusnya pelajar boleh mempelajari kitab syazal al-arfi fi fan as-sorfi, kitab karangan Syeikh Al-Al-Hamlawi ini mempunyai maklumat tambahan yang mencukupi bagi pelajar untuk mendalami ilmu ini. Antara kandungan kitab ini adalah perbicaraan berkenaan makna-makna bagi fe'el mazid, fe'el yang muta'addi dan lazim, mabni lilfa'il dan mabni lilmajhul, fe'el yang bersambung dengan dhomir, isim jamid dan musytaq, cara membentuk jamak muzakkar atau muannas dan jamak taksir dan lain-lain.





Setelah pelajar mempelajari kitab ini, bolehlah diteruskan dengan sebuah nazhom karangan ulama nahwu agung, Syeikh Ibn Malik Al-Andalusi, yang berjudul Lamiyyatul Af'al.





Beliau menerangkan pada bab pertama syarat-syarat sesuatu subjek fe'el dibaca dhommah atau kasroh atau fathah pada ain fe'el mudhori'nya. Contohnya:

- feel madhi فَعَلَ dibaca kasroh ain mudhori'nya (يَفْعِلُ) jika ada padanya salah satu syarat ini:
   1. jika fa' fe'el huruf waw, contohnya: وَعَدَ - يَعِدُ
   2. jika ain fe'el huruf ya, contohnya: بَاعَ - يَبِيعُ   سَارَ - يَسِيرُ
   3. jika lam fe'el huruf ya, contohnya: أَتَى - يَأْتِي   بَغَى - يَبْغِي
Di dalam kitab ini juga beliau menerangkan subjek-subjek yang terkeluar dari kaedah asalnya, seperti kata-kata beliau:
وَأَفْرِدِ الْكَسْرَ فِيمَا مِنْ (وَرِثْ) وَ(وَلِيْ)
(وَرِمْ) (وَرِعْتَ) (وَمِقْتَ) مَعْ (وَفِقْتَ حُلاَ)
Dan syarah yang terbaik bagi kitab ini pada pandangan saya adalah Syarah Bahraq Kabir dan Soghir. Bagi memudahkan pelajar memahami kedua-dua kitab ini, saya dan teman telah menyiapkan sebuah syarah yang ringkas bagi kitab ini berjudul Al-Qanthoroh Az-Zahabiyyah. Moga Allah meredhai amal kami ini. Amin.

Akhir sekali bolehlah dilengkapkan pembelajaran ilmu ini dengan mempelajari bahagian sorof dari kitab Al-Fiyyah karangan Ibn Malik juga. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment