Pages

Saturday, April 4, 2015

Kunci ilmu: Takrif


Takrif bererti suatu kenyataan yg ringkas dan padat bagi menjelaskan konsep atau makna sesuatu kata, frasa, dll (Kamus Dewan Edisi Keempat). Definisi takrif secara lebih terperinci adalah "ungkapan yang digunakan bagi lafaz-lafaz yang tersusun, yang mengandung penerangan yang menyingkap hakikat sesuatu perkara, atau mengandung penerangan yang membezakan perkara yang ingin diketahui itu dari selainnya" (Dr. Said Fudah, Al-Muyassar).

Terdapat beberapa syarat yang mesti dipenuhi agar takrif sesuatu perkara dapat menerangkan makna sebenar perkara tersebut. Antara syarat tersebut adalah:-

  1. Takrif tersebut mestilah mencegah atau menghalang kemasukan subjek-subjek lain, selain subjek yang ingin ditakrifkan. Maka tidak boleh 'manusia' hanya ditakrifkan sebagai 'haiwan' kerana lafaz haiwan tidak mencegah kemasukan subjek-subjek lain seperti monyet, lembu, dll dalam takrif 'manusia'.
  2. Takrif tersebut mestilah menghimpun kesemua subjek-subjek yang ditakrifkan, atau dengan erti kata lain: semua kenyataan yang terdapat pada takrif, juga terdapat pada subjek yang ditakrifkan. Maka tidak boleh 'manusia' ditakrifkan sebagai 'haiwan yang boleh membaca' kerana takrif ini tidak mencakupi kesemua jenis manusia.
  3. Hendaklah takrif tersebut lebih jelas dari subjek yang ditakrifkan. Maka tidak boleh 'api' ditakrifkan sebagai 'suatu jisim seperti ruh' kerana ruh lebih samar dari api.
  4. Takrif dan subjek tidak boleh setara (bererti takrif tersebut bukanlah lebih jelas dan bukan juga kurang jelas dari subjek yang ditakrifkan.) Maka tidak boleh 'bapa' ditakrifkan sebagai 'ayah anak', begitu juga 'manusia' tidak boleh ditakrifkan sebagai 'orang'.
  5. Takrif tersebut tidak boleh mengandungi kata-kata kiasan (majaz), melainkan jika disertai petanda yang menjelaskan kata-kata tersebut. Maka tidak boleh 'orang bodoh' ditakrifkan sebagai 'keldai', tetapi boleh jika dikatakan 'orang bodoh adalah keldai yang berpakaian dan berkata-kata'
  6. Tidak boleh memasukkan hukum di dalam takrif. Ini kerana hukum ke atas sesuatu subjek terhasil setelah sempurna gambaran perkara tersebut. Maka tidak boleh 'arak' ditakrifkan sebagai 'minuman yang diharamkan', tetapi hendaklah ditakrifkan sebagai 'minuman yang memabukkan', setelah terhasil gambaran arak berdasarkan takrif ini barulah kita boleh menghukum arak sebagai haram berdasarkan kaedah-kaedah istinbath.
  7. Tidak boleh terdapat syak atau ragu-ragu di dalam takrif.
Memahami dengan jelas takrif sesuatu perkara merupakan langkah pertama dalam memastikan hukuman yang diberi adalah tepat. Contohnya karomah:

  • Banyak orang yang menganggap karomah yang berlaku pada wali-wali Allah pada masa kini sebagai tahyul, bahkan ada yang menganggap perkara tersebut tidak logik. Ini berpunca dari kejahilan mereka berkenaan takrif karomah.
  • Karomah secara ringkas bererti 'perkara yang menyalahi adat'
  • Adat adalah 'perkara yang menjadi kebiasaan'
  • Maka karomah adalah 'perkara yang menyalahi perkara yang menjadi kebiasaan' atau boleh disebut sebagai 'perkara luar biasa'
  • Dengan ini kita ketahui adatlah yang menghukum karomah dan menyebabkan kita merasa perkara tersebut pelik.
Adakah perkara yang menyalahi kebiasaan dikira tidak logik (mustahil)?
  • Logik adalah hukum akal. dan ia terbahagi kepada 3:
  • 1. Perkara yang mesti atau wajib pada akal: adalah perkara yang tidak boleh digambarkan ketiadaannya. Contohnya wujud pencipta alam iaitu Allah, sesungguhnya akal tidak dapat menerima gambaran adanya alam tanpa ada pencipta.
  • 2. Perkara yang mustahil pada akal: adalah perkara yang tidak boleh digambarkan kewujudannya. Contohnya wujudnya dua tuhan atau lebih, sesungguhnya akal tidak dapat menerima perkara tersebut kerana ia membawa kepada lemahnya pencipta.
  • 3. Perkara yang harus: adalah perkara yang boleh digambarkan kewujudannya dan ketiadaannya. Contohnya alam ini, Allah menjadikannya bukanlah bererti Allah terpaksa menjadikannya, dan bukanlah wajib bagi Allah untuk mengekalkan Alam ini hingga hari ini, maka kita dapat ketahui bahawa kewujudan alam ini adalah perkara yang harus, yang boleh berlaku dan boleh juga tidak.
  • Begitu juga Allah mengkhususkan manusia boleh bercakap, dan haiwan selainnya tidak.. Allah mengkhususkan burung boleh terbang sedangkan manusia tidak... kesemua ini adalah perkara harus, boleh berlaku dan boleh tidak.. 
  • Sunnatullah tersebut akhirnya menjadi adat kebiasaan pada diri makhluk-makhluk sehinggakan mereka tidak merasa pelik bagaimana mereka mampu berkata-kata atau berterbangan.
  • Maka tatkala  Allah inginkan sesuatu berlaku diluar kebiasaannya, gementarlah hati para makhluk melihatnya, tersedarlah mereka bahawa ada yang menetapkan sesuatu perkara, ada yang menguruskan segala urusan.
Kesimpulannya, karomah bukanlah perkara mustahil, dan bukan juga perkara yang wajib bagi para wali, bahkan ia perkara yang harus, yang Allah inginkan, sebagai peringatan buat makhluknya. Dengan contoh ini jelaslah kepentingan mengetahui dan memahami takrif sesuatu perkara. Maka tidak hairanlah jika kita dapati karya-karya Islam kesemuanya akan bermula dengan menerangkan takrif perkara yang ingin dibincangkan. wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment