Muhammad Bin Ishak
Tidak syak lagi bahawa Muhammad Bin Ishak[1]
adalah tonggak utama bagi para ulama’ dan pengkaji sirah Rasulullah yang lahir
setelah beliau. Kitabnya yang berjudul Al-Maghazi (المغازي)
merupakan sumber primer dan subjek terpenting bagi ilmuan yang menceburkan diri
dalam bidang sirah nabawiyah sehinggakan sukar untuk kita mendapati kitab-kitab
sirah yang ditulis setelah zaman Ibnu Ishak tetapi tidak menukilkan kata-kata
beliau.
Ketika hidup, Ibn Ishak sempat melihat Sayyidina Anas Bin Malik dan
Said Bin Al-Musayyab, beliau juga sempat mendengar hadis dari Al-Qasim Bin
Muhammad Bin Abu Bakar As-Siddiq, Aban Bin Utsman Bin Affan, Az-Zuhri, Abu
Salamah Bin Abdur Rahman Bin Auf, dan Abdur Rahman Bin Hurmuz Al-A’raj. Antara
ulama besar yang meriwayatkan hadis dari Ibn Ishak adalah Yahya Bin Said
Al-Anshori, Sufyan As-Tsauri, Ibnu Juraij, Syu’bah, Al-Hamadan, Sufyan Bin
Uyainah dan lain-lain. Beliau wafat pada tahun 150 atau 151 Hijrah.
Percanggahan pendapat ulama’ berkenaan Ibnu Ishak
Salah satu perkara yang menjadi pertikaian antara ulama’ pada diri
beliau adalah keadilan beliau (عدالة)
dalam ilmu periwayatan hadis. Imam Muslim telah meriwayatkan hadis melalui
jalan periwayatan Ibn Ishak dalam Kitab Sohih beliau beserta hadis-hadis dari
ahli hadis yang selainnya yang bersifat adil. Hal ini menunjukkan bahawa beliau
mengiktiraf keadilan Ibnu Ishak dalam periwayatan hadis. Hal yang sama dapat
juga dilihat pada Ashab As-Sunan Al-Arba’ah. Imam Bukhari pula telah memberi
komentar terhadap Ibn Ishak dalam Kitab Sohih beliau.
Namun begitu, Ibnu Ishak juga telah menerima kritikan yang berat
dari dua ilmuan besar Islam; Imam Malik Bin Anas dan Hisyam Bin Urwah. Tatkala
disebut nama Ibnu Ishak di hadapan Imam Malik, beliau berkata: “Ibn Ishak
adalah seorang dajal dari kalangan dajal-dajal.” Adapun Hisyam, tatkala beliau
mendapat berita bahawa Ibnu Ishak meriwayatkan hadis dari isterinya, beliau
berkata: “Dia adalah musuh Allah dan pembohong, bagaimana dia meriwayatkan
hadis dari isteriku sedangkan dia tidak pernah melihatnya?!”
Ibnu Ishak juga dituduh sebagai Qadariyah dan pengikut mazhab
Syiah. Walau bagaimanapun, beliau juga telah diiktiraf oleh ramai ulama’
sebagai seorang alim yang pakar dan berautoriti. Bahkan Syu’bah Bin Al-Hajjaj
telah memuji beliau dengan berkata: “Ibn Ishak adalah Amirul Mukminin dalam
ilmu hadis.” Beliau juga telah mendapat pujian dari gurunya Az-Zuhri. Adapun
tohmahan yang dilemparkan kepadanya oleh Imam Malik dan Hisyam Bin Urwah, maka
perkara tersebut tidak diterima, bahkan tidak diredhai dan ditolak oleh ramai
ulama’.
Al-Hafiz Al-Kabir Abu Ahmad Ibnu ‘Adi telah bersikap adil dalam
menilai Ibnu Ishak. Dan Ibnu Adi merupakan nama yang tidak asing dalam ilmu
Jarh Wa Ta’dil dan Naqd Ar-Rijal, dan kitabnya yang berjudul Al-Kamil merupakan
asas utama dalam ilmu ini. Beliau berkata tentang Ibnu Ishak: “Aku telah
meneliti banyak hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Ishak dan aku tidak menjumpai
apa-apa perkara yang boleh menghukumnya secara qath’ie atau tetap sebagai
dhoif. Beliau mungkin tersilap dan tersalah sangka pada beberapa perkara,
seperti mana yang berlaku kepada ahli hadis selainnya.”
Al-Hafiz Abul Fath Ibnu Sayyidi An-Nas telah menyenaraikan hampir
kesemua kata-kata ulama’ berkenaan Ibnu Ishak di dalam kitab beliau berjudul “Uyunul Atsar Fi Funun
Al-Maghazi Wa Asy-Syamail Wa As-Siyar”. Beliau kemudiannya
mengulas kesemua komentar dan kritikan yang diterima oleh Ibnu Ishak. Dan
beliau cenderung untuk membela tokoh agung ini.[2]
Perkara yang ulama’ bersepakat tentang Ibnu Ishak
Walaupun terjadi banyak perselisihan pendapat dan percanggahan
pemikiran dalam menilai Ibnu Ishak, tetapi kesemua ulama’ bersepakat pada satu
perkara iaitu ketokohan beliau dalam ilmu sirah dan maghazi. Mereka semua
mengakui akan hakikat perkara ini, mereka bersadar kepada kata-katanya dan
merujuk kitab beliau dalam masalah ini. Imam Asy-Syafi’I berkata: “Barangsiapa
yang menginginkan ilmu maghazi maka hendaklah dia bersandar kepada Ibnu Ishak.”
Oleh sebab inilah Al-Hafiz Ibnu Hajar menggelar beliau sebagai ‘Imam Al-Maghazi’
dalam kitab beliau Taqrib At-Tahzib. Manakala Ibn Sayyidi An-Nas bersifat
pertengahan dalam hal ini dan tidak cenderung kepada mana-mana golongan sama
ada yang mengangkat Ibnu Ishak atau yang menjatuhkannya, maka beliau berkata
tentang Ibnu Ishak: “Beliau adalah tonggak dalam ilmu maghazi bagi kami dan
selain kami”, tanpa berlebihan memujinya dan tanpa mencelanya.
Karya Ibnu Ishak
Ibnu Ishak mempunyai satu karya yang berjudul Al-Maghazi. Karya beliau
ini tidak dijumpai dengan sempurna sehingga hari ini, namun sebahagian dari
kitab ini telah dicetak di Maghribi beserta tahkik Dr. Muhammad Hamidullah
Al-Haidar Abadi, kemudian dicetak buat kali kedua di timur tengah beserta
tahkik Dr. Suhail Zukar. Boleh jadi kitab ini akan dijumpai dengan sempurna
pada masa hadapan. Walaupun kitab ini tidak sampai ke tangan kita dengan
sempurna, tetapi kita telah mendapat intipati kitab ini melalui Ibn Hisyam
(218H) yang telah meriwayatkan kitab ini melalui perantaraan murid Ibn Ishak;
Ziyad Al-Bakkaai (183H) dan kemudiannya mengumpulkan isi penting kitab ini dan
menambah baik kekurangannya.
Jika kita meneliti maklumat-maklumat berkaitan kitab Al-Maghazi ini
yang terdapat dalam kitab Tarikh At-Thobari, kitab Tarikh Makkah karangan
Al-Azraqi, dan kitab Thabaqat Ibn Saad, serta kitab-kitab ahli hadis yang
menceritakan tentang sirah nabawiyah, kita dapat membuat kesimpulan bahawa
kitab Ibnu Ishak ini terbahagi kepada tiga bahagian; Al-Mubtada’ (permulaan),
Al-Mab’ats (pengutusan), dan Al-Maghazi (peperangan).[3]
Bahagian pertama kitab ini iaitu Al-Mubtada’ mengumpulkan kisah
kejadian-kejadian, kisah rasul-rasul, dan kisah wahyu sebelum Islam. Sumber
pengambilan Ibnu Ishak dalam bab ini adalah Wahab Bin Munabbah, Kaab Al-Ahbar,
kitab-kitab yahudi dan nasrani yang sampai ke tangan arab dan umat Islam, begitu
juga khabar-khabar yang diceritakan oleh ahli kitab yang memeluk Islam. Beliau
juga ada menceritakan dalam bab ini sejarah kabilah-kabilah arab dan kejadian
yang berlaku di tengah kehidupan mereka. Josef Horovitz berkata: “Secara
keseluruhannya, sanad dan jalan periwayatan amat sukar ditemui pada bahagian
pertama; Al-Mubtada’.”[4]
Bahagian kedua pula (Al-Mab’ats) merangkumi kisah hidup Nabi
Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wasallam di Mekah dan kisah Hijrah Baginda.
Kebiasaannya pada bahagian ini Ibnu Ishak meriwayatkan kisah-kisah beserta sanad,
terkadang kisah tersebut didatangkan secara mursal atau tanpa disebutkan sanad.
Pada bahagian ini juga, beliau telah menjadi satu-satunya perawi yang meriwayatkan
kisah perjanjian yang termaterai antara Nabi dan musyrikin serta yahudi yang
menetap di Madinah.
Pada bahagian ketiga pula Ibnu Ishak memberi tumpuan khusus
berkenaan kisah-kisah peperangan Nabi. Beliau juga ada menceritakan secara am kejadian-kejadian
yang berlaku dalam umat Islam pada zaman Nabi, sehinggalah kisah Nabi sakit dan
kewafatan Baginda.
Pada bahagian ini beliau membahagi dan menyusun peristiwa-peristiwa
yang berlaku mengikut urutan tahun, beliau juga menjelaskan sanad kisah-kisah
dan nama-nama perawinya. Ibnu Ishak juga mempunyai metod yang khusus dalam
penyampaian beliau berkenaan kisah-kisah peperangan Rasulullah. Beliau akan
memulakan pembicaraan dengan gambaran umum dan kesimpulan ringkas yang
mengumpulkan isi-isi utama kisah tersebut, kemudian beliau akan menyebut
khabar-khabar yang diriwayatkan oleh ramai perawi bermula dengan perawi yang
kuat kehujahannya seperti Az-Zuhri, Humaid At-Thowil, ‘Ashim Bin Umar, dan Abdullah
Bin Abu Bakar. Setelah itu, dituruti oleh khabar-khabar yang diriwayatkan
secara perseorangan yang beliau kumpulkan dari sumber-sumber yang lain.
Kelemahan Ibnu Ishak
Ibnu Ishak merupakan seorang sejarawan yang amat menitikberatkan maklumat-maklumat
sejarah yang bertulis atau yang dihafal oleh para gurunya dan ulama’ yang hidup
sezaman dengannya. Beliau amat gemar mencari maklumat berkaitan ilmu sejarah
dan suka bertanya tentangnya, sehingga beliau dikenali dengan hal tersebut. Oleh
hal yang demikian, banyak orang yang datang berjumpa dengannya untuk
memberitahu dan menceritakan kisah kemuliaan nenek moyang mereka. Mereka juga
membacakan syair-syair yang memuji keturunan mereka. Kemudian Ibnu Ishak
menukil syair-syair ini dalam kitab beliau.
Hal inilah yang menjadi penyebab beliau dikritik oleh Muhammad Bin
Salam Al-Jumahi (231H) dan ulama’ lain. Ini kerana kebanyakan syair tersebut
tidak sohih, dan kerana beliau mendakwa sebahagian syair tersebut dinukil dari
syair yang dibaca pada zaman kaum Aad dan Tsamud serta zaman-zaman lampau. Oleh
sebab ini, Ibnu Hisyam telah meninggalkan kebanyakan syair tersebut kerana ia
menjadi penyebab tohmahan kepada Ibnu Ishak. Namun begitu, Ibnu Ishak tidak
sepatutnya dipersalahkan dan dicela dengan sebab ini kerana beliau bukanlah alim
dalam bidang syair.
Pendapat kami berkenaan Ibnu Ishak
Walau apapun yang telah terjadi seperti yang telah disebutkan, kita
meyakini jika ditemui semula kitab Ibnu Ishak secara sempurna, sudah pasti ia adalah
kitab terulung dan yang paling bermanfaat dalam bidang ilmu sirah. Seterusnya,
berikut adalah pendirian kami berkenaan Ibnu Ishak:
1.
Jika Ibnu Ishak
betul atau salah dalam menceritakan kisah umat terdahulu sebelum Islam, maka
hal tersebut tidak akan memberi sedikitpun kemudaratan terhadap sirah
Rasulullah. Dalam hal ini, kesemua ulama sama ada yang sezaman dengan Ibnu
Ishak atau yang datang setelahnya sama sahaja; kesalahan mereka dalam bab ini
tidak memberi kesan kepada sejarah Nabi.
2.
Kisah-kisah
kerasulan dan peperangan yang beliau riwayat berserta sanad, hendaklah dilihat dan
dihukum berdasarkan sanadnya, dalam masa yang sama dengan melihat Ibnu Ishak
sendiri sebagai seorang perawi yang boleh dipercayai seperti yang telah
diterangkan.
3.
Jika kisah-kisah
kerasulan dan peperangan tersebut diriwayatkan secara mursal atau tanpa sanad, dan
bercanggah dengan hadis yang diriwayatkan secara bersanad dan sohih, maka kita
berpegang kepada hadis yang sohih itu, melainkan jika ada perkara yang kuat yang
mentarjih qaul Ibnu Ishak.
4.
Jika kisah-kisah
kerasulan dan peperangan tersebut diriwayatkan secara mursal atau tanpa sanad,
dan tidak ada sebarang sumber lain yang bercanggah dengannya, maka Ibnu Ishak
lebih berautoriti dan lebih didahulukan berbanding ulama’ selainnya dalam
masalah ini. Dan kata-katanya dalam perkara ini dianggap sebagai hujah.
Inilah manhaj yang diambil oleh ulama’-ulama’ Islam yang telah
mengumpul jalan dan sanad periwayatan seperti Amirul Mukminin Fil Hadis Ibnu
Hajar Al-Asqolani. Kerana inilah kita mendapati beliau mendahulukan hadis sohih
dari khabar yang diriwayatkan oleh ahli sirah – yang antara mereka itu adalah
Ibnu Ishak. Beliau menyebut dalam kitab Fathul Bari: “Pendapat yang mengatakan
bahawa khabar yang diriwayatkan dalam ilmu sirah lebih kuat dari hadis sohih
adalah tertolak.”[5]
Namun, jika tidak terdapat sebarang riwayat yang sohih sanadnya
berkenaan sesuatu peristiwa, seperti kisah penebusan tawanan perang Badar, maka
kita boleh berpegang dengan kata-kata Ibnu Ishak. Ibnu Hajar sendiri telah
menegaskan hal ini secara tidak langsung melalui kata-katanya: “Sesungguhnya
Ibnu Ishak telah menyebutkan secara terperinci akan peristiwa penebusan tawanan
perang Badar, dan apa yang disebutkannya itu sudah mencukupi dan memadai.”
Percanggahan Ibnu Ishak
Terdapat beberapa maklumat yang disebut oleh Ibnu Ishak yang
bercanggah dengan sumber yang sohih. Antaranya adalah pendapatnya yang mengatakan
bahawa jumlah orang yang keluar bersama Nabi menuju ke Hudaibiyah adalah
seramai 700 orang, sedangkan maklumat yang datang dari sumber yang sohih
mengatakan bahawa jumlah mereka adalah 1400 orang. Dan dalam riwayat lain yang
juga sohih mengatakan jumlah mereka lebih dari 1400 orang.[6]
Ulama’ mengatakan bahawa pendapat Ibnu Ishak ini adalah berdasarkan
pemahamannya terhadap kisah ini, bukanlah berdasarkan riwayat. Ini kerana
jumlah unta yang disembelih sebagai dam bagi orang dihalang masuk ke Mekah
untuk menunaikan haji ketika itu adalah 70 ekor unta, dan setiap seekor unta
itu adalah dam bagi 10 orang, maka jumlahnya adalah 700 orang.
Ibnu Ishak juga berpendapat bahawa jumlah Ashab Ar-Raji’ adalah 6
orang, sedangkan Imam Al-Bukhari meriwayatkan dengan sanad yang sohih bahawa
jumlah mereka adalah 10 orang.[7]
Ibnu Ishak juga mengatakan bahawa jumlah Ashab Bi’r Ma’unah adalah seramai 40
orang lelaki, sedangkan Imam Al-Bukhari dan ulama’ lain mengatakan bahawa
jumlah mereka adalah seramai 70 orang lelaki.[8]
Begitu juga pendapatnya yang bercanggah dengan apa yang disebut di dalam kitab
Sohih Muslim berkenaan penyertaan Saad Bin Ubadah dalam peperangan Badar.[9]
Ibnu Ishak dan gurunya Az-Zuhri
Dan ingin kami jelaskan di sini bahawa dakwaan yang mengatakan Ibnu
Ishak banyak beriktimad kepada gurunya Az-Zuhri dalam ilmu sirah adalah satu
dakwaan yang tidak jelas dan tidak dapat dibuktikan berdasarkan nuskhah
sebahagian kitab beliau yang telah dijumpai dan dicetak. Kami telah mengira
kisah-kisah yang beliau riwayat melalui jalan periwayatan Az-Zuhri dan ternyata
kisah-kisah tersebut hanyalah lebih kurang 15 buah kisah. Dan kisah-kisah ini
kebanyakannya disebut dalam kitab hadis sohih dan sunan-sunan, dan tidak
terdapat antara kisah ini satupun yang tidak diketahui, bahkan kesemuanya
adalah kisah yang makruf. Hal ini mendokong dan menguatkan kata-kata Imam
Al-Baihaqi berkenaan Ibnu Ishak: “Dan Muhammad Bin Ishak; jika beliau menyebut
satu hadis yang beliau riwayat, dan ternyata perawi yang menyampaikan hadis itu
seorang yang tsiqah, maka hadis beliau itu baik sanadnya.”[10]
Kami juga mendapati dalam nuskhah sebahagian kitab ini yang telah
tercetak terdapat banyak penambahan yang yang dilakukan oleh Yunus Bin Bakir,
dan terdapat beberapa penambahan dari Ahmad Bin Abdul Jabbar yang beliau nukil
dan riwayat dari Yunus Bin Bakir.[11]
Penutup
Kesimpulannya, kitab Ibnu Ishak ini adalah kitab yang terbaik dan
yang paling banyak memberi manfaat dalam ilmu sirah sejak dahulu sehinggalah ke
hari ini. Walaupun kita tidak dapat membacanya dan mentelaahnya secara
sempurna, tetapi apa yang telah sampai ke tangan kita melalui Ibnu Hisyam yang
meriwayatkan ilmu sirah Ibnu Ishak dengan perantaraan Abu Muhammad Ziyad Bin
Abdullah Al-Bakkai telah memberikan gambaran umum bagi kitab tersebut. Dan Al-Bakkai
merupakan seorang yang dipercayai dalam ilmu sirah seperti yang telah diakui
oleh ramai ulama’. Oleh itu, tidak akan timbul dakwaan yang mengatakan sirah
yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam adalah tidak sohih.
Ibnu Hisyam telah menyebut manhaj beliau dalam menyusun ringkasan
Sirah Ibnu Ishak: “Aku meninggalkan kisah-kisah yang disebut oleh Ibnu Ishak
yang tidak ada sebarang kaitan dengan Rasulullah, dan tidak ada kaitan dengan
Al-Quran serta sebab penurunan Al-Quran, dan bukan juga penafsiran bagi Al-Quran,
serta bukan bukti-bukti yang menyokong kebenaran Al-Quran. Ini adalah untuk
meringkaskan kitab ini. Aku juga meninggalkan syair-syair yang tidak makruf
disisi ahli syair, dan begitu juga beberapa perkara yang tidak elok untuk
disebut, kisah-kisah yang memburukkan sebahagian manusia, dan kisah-kisah yang mana
guruku Al-Bakkai tidak mengiktiraf riwayatnya. Dan aku berusaha sedaya upaya
untuk mengumpulkan sebanyak mungkin selain dari perkara yang telah disebutkan…”[12]
Beliau telah menjelaskan di beberapa tempat kalimat-kalimat asing,
atau nama yang tidak dikenali yang terdapat dalam kitab Ibnu Ishak. Beliau juga
ada bercanggah pendapat pada beberapa tempat, dan beliau juga membetulkan
perkara yang dilihat salah dalam kitab tersebut.
Ramai ulama’ dari zaman dahulu sehinggalah hari ini mengambil berat
akan kitab Sirah Ibnu Hisyam, ada yang mensyarah kitab ini, ada yang
meringkaskannya, ada yang mentakhrij hadis-hadisnya, dan ada yang menambah baik
isinya. Antara ulama yang telah berjasa besar dalam menambah baik kitab ini
adalah Al-Hafiz Mus’ab Bin Muhammad Bin Mas’ud. Beliau telah menghuraikan
lafaz-lafaz yang susah dan asing yang terdapat dalam kitab ini. Syarah beliau
yang ringkas dan padat ini telah diberi nama Al-Imla’ Al-Mukhtashor Fi Syarhi
Gharib As-Sirah.
Tidak lupa juga Syarah Imam Abdur Rahman As-Suhaili Al-Andalusi
yang dikebumikan di Marrakech, Maghribi. Kitab beliau ini yang diberi nama
Ar-Raudhul Unuf adalah syarah bagi Mukhtashor Ibnu Hisyam. Ia adalah sebuah
kitab yang amat bernilai, sarat dengan ilmu dan faedah, penuh dengan penerangan
darjat sohih dan dhoif, kaya dengan penerangan masalah Bahasa dan nasab
keturunan, serta memudahkan perkara-perkara yang susah. Imam Az-Zahabi (748H)
telah meringkaskan Ar-Raudhul Unuf dan menamakan kitab beliau tersebut Bulbul
Ar-Raudh.
Wallahua’lam.
*Terjemahan dan
olahan kitab مصادر السيرة النبوية وتقويمها
karangan Dr. Faruq Hamadah, ms/89-94.
[1] Abu Bakar Muhammad Bin
Ishak Bin Yasar (151H). Sejarawan Islam pertama. Rujuk Siyar A’lam An-Nubala 7/33,
Cetakan Muassasah Ar-Risalah.
[2] Lihat maklumat lanjut
berkenaan Ibnu Ishak dalam: Taqrib At-Tahzib, 2/144. Khulasoh Tahzih Al-Kamal,
278. ‘Uyunul Atsar, 1/8. Dan lain-lain.
[3] Maklumat ini di sebut oleh
seorang ilmuan orientalis bernama Josef Horovitz dalam artikel beliau yang
disiarkan dalam majalah ‘Islamic Culture’ di India yang kemudiannya diterjemah
oleh Husain Nasshar dan dibukukan dengan tajuk المغازي
الأولى ومؤلفوها. Buku ini amat
bagus tetapi dipenuhi dengan fahaman-fahaman songsang oriantalis.
[4] Al-Maghazi Al-Ula, 84.
[5] Fathul Bari 7/421,461.
[6] Fathul Bari 7/441.
[7] Lihat: Uyunul Atsar, 2/41.
Fathul Bari, 7/278.
[8] Lihat: Fathul Bari, 7/285.
[9] Sohih Muslim: Bab Peperangan
Badar, hadis: 1779.
[10] Zadul Mi’ad, 1/99.
[11] Lihat Al-Maghazi
209&269.
[12] Lihat Sirah Ibnu Hisyam.
No comments:
Post a Comment