Bulan Rabiul Awwal pada setiap tahun sentiasa diingati dan
mengharum di fikiran serta hati para pencinta Nabi, harumannya semerbak sejarah
Nabi yang berkembang mekar bermula pada bulan ini. Keindahan taman kasih para
pencinta Nabi dihiasi berbagai aktiviti dan acara yang berwarna warni, disirami
airmata kasih dan tangisan rindu tatkala dibaca riwayat agung Junjungan Nabi. Namun
ada sebahagian manusia yang masih keliru dan tidak yakin dengan amalan maulid
yang dilakukan pada bulan ini, adakah ia menepati ajaran Nabi?
Imam As-Suyuthi telah ditanya apakah hukum melaksanakan majlis
maulid rasul pada bulan Rabi’ul Awwal di sisi syarak? Adakah ia perbuatan yang
dipuji atau yang dikeji? Adakah pelakunya mendapat ganjaran pahala atau tidak? Di
sini kami nyatakan jawapan beliau:
Majlis Maulid pada asalnya adalah perkumpulan orang ramai untuk
membaca ayat-ayat Al-Quran, membaca kisah-kisah permulaan hidup Baginda
Shollallahu ‘Alaihi Wasallam, dan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika
kelahiran baginda, kemudian dihidangkan sedikit jamuan, dan setelah itu
merekapun bersurai. Majlis ini pada asalnya berjalan seperti ini tanpa disertai
amalan-amalan baharu yang baik (yang disebut sebagai bid’ah hasanah) yang mana
pelakunya akan medapat ganjaran pahala; kerana pada dasarnya amalan tersebut tidak
lain tidak bukan adalah untuk membesarkan dan memuliakan Nabi serta menzahirkan
kegembiraan atas kelahiran semulia-mulia insan.
Sejarah majlis Maulid Nabawi
Sultan Al-Muzaffar Kokburi |
Orang yang mula-mula merayakan Maulid Nabawi - seperti yang
direkodkan oleh Imam Ibn Kathir - adalah Raja tanah Irbil, Al-Malik
Al-Muzhaffar, Abu Said Kokburi Bin Zainuddin[1] yang hidup sezaman dengan Sultan Salahuddin
Al-Ayubi serta pernah ikut berperang bersamanya menentang tentera salib. Berkata
Ibn Kathir: “Beliau merayakan Maulid Nabawi pada bulan Rabiul Awwal dengan
perayaaan yang amat besar. Beliau merupakan seorang yang mulia, berani,
perwira, bijaksana dan alim, moga Allah Taala merahmatinya. Syeikh Ibn Dihyah
telah mengarang untuknya sebuah kitab tentang peristiwa kelahiran Nabi yang
dinamakan At-Tanwir Fi Maulid Al-Basyir An-Nazir, maka beliaupun menghadiahkan
1000 dinar kepada Syeikh tersebut.”[2]
Cucu Imam Ibn Al-Jauzi menjelaskan dalam kitab Mir-atu Az-Zaman
bahawa hidangan yang disediakan oleh Al-Muzhaffar dalam sebahagian acara maulidnya
adalah sebanyak 5000 kepala kambing bakar, 10,000 ekor ayam, 100 ekor kuda, 100,000
biji buah avocado, dan 30,000 pinggan manisan. Majlisnya ini dihadiri para
ulama’ dan ahli tasawwuf. Beliau menyediakan alunan qasidah dan syair bagi
mereka dan turut serta menari bersama-sama. Beliau membelanjakan sebanyak 300,000
dinar setiap tahun bagi acara maulid, dan sebanyak 100,000 dinar bagi rumah
tetamu yang datang ke majlis ini, beliau juga membelanjakan sebanyak 30,000
dinar bagi dua tanah haram dan urusan pengairan tanah Hijaz. Ini semua tidak
termasuk sedekah yang dilakukannya secara tersembunyi.[3]
Isteri Al-Muzhaffar Rabi’a Khatun Binti Ayyub (saudara perempuan
Salahuddin Al-Ayubi) menceritakan bahawa harga jubah yang dipakai suaminya tidak
sampai 5 dirham, dia telah mencela jubah suaminya itu, maka berkata
Al-Muzhaffar kepadanya: “aku memakai jubah yang harganya 5 dirham dan
bersedekah dengan hartaku yang selebihnya, lebih baik dari aku memakai pakaian
yang mahal dan aku membiarkan para fakir miskin.”
Pendapat Syeikh Tajuddin Al-Lakhmi[4]
berkaitan Maulid
Syeikh Tajuddin Umar Bin Ali Al-Lakhmi As-Sakandari Al-Fakihani
mendakwa bahawa amalan maulid adalah bid’ah yang dikeji. Di sini kami akan memetik
kenyataan beliau tersebut seterusnya membincangkannya secara teliti.
Berkata Syeikh Al-Lakhmi Rahimahullah:
“Segala puji
bagi Allah yang memberi hidayah bagi kita untuk mengikuti sebaik-baik utusan, dan
membantu kita dengan menunjukkan jalan ke arah tiang-tiang agama, dan
memudahkan kita untuk menjejak langkah-langkah salaf solihin, sehingga hati
kita dipenuhi cahaya syariat, dan hujah-hujat yang kuat, dan bersihlah diri
kita dari perkara baharu dan bid’ah dalam syariat….
Ammu Ba’du,
sesungguhnya telah berulang kali dipersoalkan kepadaku berkenaan orang ramai
yang berkumpul pada bulan Rabiul Awwal dan menamakan perkumpulan mereka itu
sebagai acara Maulid. Adakah ada asal dan sandaran bagi amalan ini? Atau ia
adalah perkara baharu dalam agama?....
Maka aku
berkata: Aku tidak ketahui bagi amalan ini sebarang asal atau sandaran dari Al-Quran
dan Sunnah Rasulullah, dan tidak terdapat riwayat berkenaannya dari ulama’-ulama’
ummah… Bahkan ia adalah suatu bid’ah yang dicipta oleh ahli bathil dan orang-orang
yang ingin memenuhi nafsu makannya. Buktinya jikalau kita menghukumi amalan ini
dengan hukum yang lima (hukum taklifi), maka ia sama ada dihukumi wajib, sunat,
harus, makruh atau haram.
Dan secara
ijmak hukumnya bukan wajib. Dan bukan juga sunat kerana hakikat sunat adalah ‘perkara
yang dituntut syarak tanpa dihukumi orang yang meninggalkannya’. Adapun maulid
maka ia tidaklah dituntut syarak, dan tidak pula dilakukan oleh para sahabat,
tabi’ tabiin dan ulama’ solihin. Maulid ini juga tidak boleh dihukumi harus
kerana bid’ah dalam agama adalah tidak dibolehkan secara ijmak. Oleh itu, amalan
ini hanya boleh jadi dihukumi makruh atau haram, dan penerangannya adalah
seperti berikut:
Pertama: pelaku
amalan ini mengeluarkan hartanya sendiri, dan hanya menjemput ahli keluarga dan
kaum kerabatnya, sahabat handai dan kenalannya, hanya berkumpul untuk
makan-makan, serta tidak melakukan sebarang maksiat di dalam acara tersebut. Maka
ini kami sifati dan hukuminya sebagai bid’ah yang makruh dan dikeji, kerana ia
tidak pernah dilaksanakan oleh seorangpun ulama terdahulu.
Kedua: amalan
ini disertai jenayah (menggunakan harta orang lain), dan dihiasi nyanyian dan
alat-alat muzik, dan ada padanya perhimpunan lelaki dan perempuan, sama ada
bercampur atau tidak, dan dipenuhi tarian serta kelalaian. Begitu juga jika
perkumpulan ini hanya antara para wanita, namun disertai suara mereka yang
nyaring untuk bernasyid, atau membaca Al-Quran bukan seperti kebiasaannya
(dengan suara yang tidak nyaring). Maka tidak dipertikaikan lagi keharaman
amalan yang seperti ini…
Lebih dari itu,
mereka yang melakukan amalan ini memandangnya sebagai amalan kebaikan, bukan
kemungkaran dan kemaksiatan. Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un… Imam Abu Amrin
Ibn Al-Ala’ telah berkata: لا يزالون الناس بخير ما تعجب من العجب. Mereka merayakan acara ini sedangkan bulan
yang dilahirkan Nabi padanya - bulan Rabiul Awwal - adalah bulan yang sama Baginda
diwafatkan. Maka tidaklah kegembiraan lebih utama dari kesedihan padanya.
Inilah yang
ingin kami perkatakan, dan kami mohon dari Allah agar diterima amalan. [tamat
kata-kata Syeikh Al-Lakhmi]
Jawapan balas bagi fatwa Syeikh
Al-Lakhmi
Beliau berkata: “Aku tidak ketahui bagi
amalan ini sebarang asal atau sandaran dari Al-Quran dan Sunnah Rasulullah.”
Ketiadaan ilmu tentang sesuatu perkara tidak memberi erti ketiadaan
perkara tersebut. Sesungguhnya Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqolani telah
mengeluarkan sandaran bagi amalan ini dari Sunnah, dan aku sendiri (Imam
Suyuthi) telah mengeluarkan sandaran kedua baginya dari hadis Nabi. Dan akan
kunyatakan dua dalil ini.
Beliau berkata: “Bahkan ia adalah suatu
bid’ah yang dicipta oleh ahli bathil dan orang-orang yang ingin memenuhi nafsu
makannya…”
Telah dinyatakan bahawa orang yang mula-mula meraikannya adalah
seorang raja yang adil dan alim, tujuannya untuk mendekatkan diri pada Allah,
acaranya dihadiri para ulama’ dan orang soleh. Dan amalan ini juga dipersetujui
oleh Ibn Dihyah, beliau juga telah mengarang sebuah kitab bersempena acara ini.
Kesemua ulama’ tersebut menerima amalan ini dan tidak menegahnya.
Beliau berkata: “Dan bukan juga sunat
kerana hakikat sunat adalah ‘perkara yang dituntut syarak…”
Tuntutan dalam perkara yang sunat boleh jadi dari nas yang sorih, dan
boleh jadi dari kaedah qiyas. Dalam hal ini, walaupun tidak ada sebarang nas
yang menuntutnya, namun ia dapat diqiyas dari dua dalil yang akan kunyatakan
nanti.
Beliau berkata: “Maulid ini juga tidak
boleh dihukumi harus kerana bid’ah dalam agama adalah tidak dibolehkan secara
ijmak.”
Kata-kata ini tidak boleh diterima, ini kerana bid’ah bukanlah
hanya dihukumi makruh atau haram, bahkan boleh jadi ia dihukumi harus, sunat
atau wajib.
Apakah hakikat bid’ah?
Imam Nawawi berkata dalam kitab Tahzib Al-Asma’ Wal-Lughat: “Bid’ah
di sisi syarak adalah melakukan perkara yang tidak dilakukan pada zaman Nabi
Shollallahu ‘Alaihi Wasallam, dan ia terbahagi kepada bid’ah hasanah dan bid’ah
qabihah.”
Berkata Syeikh Izzuddin Bin Abdul Salam dalam kitabnya Al-Qawaid: “Bid’ah
terbahagi kepada; bid’ah wajibah, muharramah, mandubah, makruhah, dan mubahah.”
Beliau berkata lagi: “cara untuk mengetahui hukum sesuatu perkara yang bid’ah adalah
dengan meletakkan bid’ah itu pada timbangan qawaid syarak, jika ia termasuk
dalam kaedah yang wajib maka dihukumi wajib, jika haram maka haram...”
Kemudian beliau mendatangkan contoh bagi setiap bahagian ini,
sehingga pada kata-katanya: “dan contoh bid’ah yang mandubah adalah membina
sekolah-sekolah dan membuat segala perkara baik yang tidak dilakukan pada kurun
yang pertama, antaranya; solat tarawih dan perbicaraan yang mendalam dalam ilmu
tasawwuf..”
Al-Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dalam Manaqib Asy-Syafie: “Daripada
Imam Asy-Syafie beliau berkata: Perkara-perkara baharu itu terbahagi dua;
perkara baharu yang menyalahi Al-Quran, Sunnah, Athar, atau Ijmak, Maka ini
adalah bid’ah dholalah. Yang kedua; perkara baharu yang baik, yang termasuk dalam
apa yang telah disebutkan (Al-Quran, Hadis…) maka ini adalah bid’ah yang tidak
mazmumah…
Berdasarkan penerangan ini jelaslah bahawa amalan baharu ini
tidaklah boleh dihukumi makruh seperti kata-kata Syeikh Al-Lakhmi: “Maka ini kami sifati dan hukuminya sebagai bid’ah yang
makruh dan dikeji.” Ini kerana perbuatan ini tidak menyalahi Al-Quran,
Sunnah, Athar dan Ijmak. Maka ia bukanlah bid’ah mazmumah, bahkan ia adalah
seperti yang disebut oleh Imam Al-Izz: “perkara baik yang tidak dilakukan pada
kurun yang pertama.” Sesungguhnya memberi makan tanpa menggunakan harta orang
lain adalah bid’ah yang disunatkan sesuai dengan pendapat Imam Izzuddin Bin
Abdul Salam.
Beliau berkata: “Kedua: amalan ini disertai
jenayah (menggunakan harta orang lain), dan dihiasi nyanyian dan alat-alat
muzik, dan ada padanya perhimpunan lelaki dan perempuan, sama ada bercampur
atau tidak, dan dipenuhi tarian serta kelalaian. Begitu juga jika perkumpulan
ini hanya antara para wanita, namun disertai suara mereka yang nyaring untuk
bernasyid, atau membaca Al-Quran bukan seperti kebiasaannya (dengan suara yang
tidak nyaring). Maka tidak dipertikaikan lagi keharaman amalan yang seperti
ini…”
Kata-kata ini benar, namun harus diperhatikan bahawa pengharaman
ini bukanlah kerana perkumpulan untuk maulid itu sendiri, tetapi disebabkan
perkara-perkara haram yang telah beliau nyatakan. Bahkan jikalau berlaku
perkara ini dalam perhimpunan untuk melaksanakan solat Jumaat, maka ia juga
adalah perkara yang keji, namun ia tidak bererti bahawa perkumpulan untuk solat
Jumaat itu juga keji.
Kami telah melihat akan perkara-perkara keji ini berlaku dalam
perhimpunan untuk melaksanakan solat tarawih. Kami tidak melarang perhimpunan
tersebut, bahkan kami katakan: asal perhimpunan untuk melaksanakan solat
tarawih adalah sunat, adapun perkara keji yang terjadi dalamnya maka hukum
perkara tersebut adalah haram. Begini jugalah yang kita perkatakan bagi acara
maulid.
Beliau berkata: “Mereka merayakan acara ini sedangkan bulan yang
dilahirkan Nabi padanya - bulan Rabiul Awwal - adalah bulan yang sama Baginda
diwafatkan. Maka tidaklah kegembiraan lebih utama dari kesedihan padanya.”
Sesungguhnya kelahiran Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wasallam adalah
nikmat terbesar bagi kita, dan kewafatan Baginda adalah musibah terbesar. Dan sesungguhnya
Syariat Islam menuntut agar kita menzahirkan kesyukuran atas nikmat, dan
menuntut agar kita bersabar, tenang dan merahsiakan musibah yang menimpa kita.
Syariat telah memerintahkan agar kita melakukakan aqiqah ketika
kelahiran untuk melahirkan kesyukuran dan kegembiraan, namun kita tidak pula
diperintahkan untuk melakukan penyembelihan atau selainnya ketika berlaku kematian.
Bahkan kita dilarang untuk menangis teresak-esak dan menzahirkan kesedihan yang
amat mendalam. Oleh hal yang demikian, kaedah Islam menuntut kita agar
menzahirkan kegembiraan pada bulan kelahiran Baginda Nabi tanpa melahirkan
kesedihan.
Ibn Rajab menyebutkan dalam Kitab Al-Lathoif Fi Zammi Ar-Rafidhoh
tatkala membicarakan perihal syiah yang menjadikan hari ‘Asyura sebagai hari
memperingati kesyahidan Sayyidina Husain dan hari kesedihan atas kematiannya: “Allah
dan Rasul tidak pernah memerintahkan agar dijadikan hari-hari musibah dan
kematian para Nabi sebagai hari untuk bersedih, maka bagaimana pula dengan
orang yang lebih rendah darjatnya berbanding mereka?”
Pendapat Ibn Hajar berkenaan Maulid
Asal Maulid adalah bid’ah yang tidak dilaksanakan oleh umat Islam
pada 3 kurun pertama. Dan terkandung dalamnya amal yang baik dan sebaliknya;
jikalau seseorang melakukan amal yang baik pada acara tersebut dan menjauhi
yang buruk, maka ia dikategorikan sebagai bid’ah hasanah, namun jika tidak maka
ia adalah sebaliknya…
Sungguh telah jelas bagiku asal sandaran amalan ini, iaitu hadis
yang terdapat dalam dua kitab sohih: “sesungguhnya Nabi Shollallahu ‘Alaihi
Wasallam ke kota Madinah, Baginda mendapati orang yahudi berpuasa pada hari
asyura’ maka Baginda bertanya sebab mereka berpuasa. Mereka menjawab: ini
adalah hari Allah menenggelamkan fir’aun, dan menyelamatkan Musa, maka kami
berpuasa sebagai tanda bersyukur kepada Allah.”
Difahami dari hadis ini bahawa antara sebab bersyukur pada Allah
adalah mendapat nikmat dan terlepas dari bala pada hari tertentu, dan boleh
diulangi kesyukuran tersebut pada hari yang sama setiap tahun… dan nikmat
apakah yang lebih besar dari nikmat kelahiran Nabi pembawa rahmat?
Kisah Aqiqah Nabi
Berkata Imam Suyuthi: Dan telah jelas bagiku asal sandaran yang
lain bagi amalan ini, iaitu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Baihaqi oleh Anas
Bin Malik Radhiyallahu ‘Anhu: “Sesungguhnya Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wasallam
telah melakukan aqiqah bagi dirinya sendiri selepas kenabian Baginda.” Sedangkan
telah diriwayatkan bahawa datuknya Abdul Mutaalib telah melakukan aqiqah baginya
pada hari ketujuh kelahiran Baginda.
Oleh itu, boleh jadi perbuatan Nabi ini adalah untuk menzahirkan
kesyukurannya kepada Allah yang telah menjadikan Baginda sebagai rahmat
sekalian alam, dan sebagai memuliakan ummatnya. Hal ini sepertimana Baginda
berselawat keatas dirinya sendiri kerana sebab yang sama. Maka begitu juga
dituntut untuk kita menzahirkan kegembiraan atas kelahiran Baginda dengan cara
berkumpul dan memberi makan serta melakukan amal ketaatan.
Wallahuaklam.
*Terjemahan dan olahan dari kitab حسن المقصد في عمل المولد karangan Imam As-Suyuthi.
No comments:
Post a Comment