Pages

Saturday, October 3, 2015

Taqlid Dalam Iman

gambar hiasan
 
Apakah taqlid dan apakah nazhor?
 
Taqlid dari segi istilah seperti yang didefinisi oleh Ibn As-Subki bermaksud "berpegang dengan suatu pendapat tanpa mengetahui dalilnya". Manakala Al-Amidi mendefinisikan taqlid sebagai "satu istilah yang disebut bagi pengamalan yang bersandarkan pendapat orang lain tanpa disertai hujah yang menuntut kewajipan pengamalan tersebut".
 
Syariat Islam mewajibkan keatas setiap mukallaf untuk berfikir dan melakukan penelitian yang dapat membawa kepada keyakinan yang jitu terhadap kewujudan tuhan. Oleh itu, sesiapa yang mnggunakan akalnya untuk berfikir dan memerhati ciptaan tuhan sehingga terhasil kepercayaan bahawa wujudnya tuhan, yang mana kepercayaannya itu tidak dapat dikaburi walau dengan secebis keraguan, maka dia telah melaksanakan perintah suci yang telah ditaklifkan keatasnya.
 
Pemerhatian, penelitian dan penggunaan akal inilah yang disebut sebagai nazhor. Syeikh Abu Al-Hajjaj Adh-Dhorir Al-Murakusyi menerangkan makna nazhor disisi ulama ilmu kalam di dalam nazhom beliau yang berjudul At-Tanbih Wal Irsyad fi Ilmi Al-I'tiqad:

 
وحده الفكر ابتغاء الفرق *** بين الأباطل وبين الحق
وهو أيضا طلب اليقين *** والعلم أو غلبة الظنون
كذاك الاعتبار والتأمل *** وهو ضربان إذا يفصل
 
Yang dimaksudkan dengan nazhor itu adalah berfikir untuk membezakan antara benar dan salah, atau untuk mendapat keyakinan, atau untuk mengetahui sesuatu perkara, atau hanya untuk mendapat sangkaan yang kuat. Selain itu, ia juga boleh bermaksud pemerhatian dan penelitian. Al-Baqillani pula berpendapat bahawa nazhor adalah "pemikiran yang membawa kepada pengetahuan atau sangkaan yang kuat." Ini adalah pendapat yang dipilih oleh Imam Haramain dalam kitabnya Al-Irsyad.
 
Kita mestilah mengetahui bahawa tujuan utama diwajibkan nazhor adalah untuk mendapat keyakinan yang jitu dalam urusan aqidah. Ini kerana orang yang tidak melakukan pemerhatian dan tidak berfikir, sebaliknya hanya menerima kata-kata orang lain, kebiasaannya mereka tidak terlepas dari keraguan dan syak yang bercanggah dengan makna aqidah itu sendiri iaitu pegangan dan kepercayaan yang mantap. Berbeza dengan orang yang melakukan penelitian, dalil dan bukti yang mereka capai melalui proses ini dapat menenangkan hati mereka dan menjadi benteng yang ampuh untuk menolak sebarang keraguan.
 
Hukum bertaqlid.
 
Ahli kalam berbeza pendapat pada masalah muqallid atau orang yang mengikut pendapat orang lain dalam urusan aqidah tanpa mengetahui dalil dan tanpa menggunakan akal untuk berfikir berkenaan hal tersebut:
  1. Jumhur ulama' seperti Imam Ahli Sunnah Imam Al-Asy'ari, Qadhi Al-Baqillani, Al-Isfirayini dan Imam Haramain berpendapat bahawa tidak boleh bertaqlid dalam urusan aqidah, bahkan wajib bernazhor, kerana yang dituntut dalam urusan ini adalah keyakinan yang jitu. Pendapat ini juga dinisbahkan kepada Imam Malik Bin Anas serta ditarjih oleh Imam Fakhruddin Ar-Razi.
  2. Pendapat kedua dinyatakan oleh Al-'Anbari dan sebahagian ulama bermazhab Syafie. Mereka berpendapat bahawa boleh bertaqlid dan tidak wajib bernazhor, cukup sahaja dengan keyakinan yang jitu. Ini kerana Rasulullah menerima iman arab badwi hanya dengan ucapan syahadah yang menzahirkan keimanannya kepada Allah dan Rasul dan risalah Baginda Shollallahu 'Alaihi Wasallam, sedangkan mereka bukanlah ahli nazhor.
  3. Pendapat ketiga mengatakan bahawa nazhor dalam urusan aqidah adalah haram bagi orang awam, mereka wajib bertaqlid. Ini kerana nazhor selalunya menjadi tempat kegelinciran dan kesesatan disebabkan perbezaan bentuk dan cara pemikiran. Berbeza dengan taqlid yang lebih selamat dan lebih patut untuk dipraktik. Oleh itu, wajib bagi mukallaf untuk meyakini aqidah yang didatangkan oleh syarak, walaupun didatangkan hanya dengan dalil yang ijmali (yang umum, tidak secara terperinci). Hal yang demikian kerana perkara utama yang dituntut bukanlah nazhor, tetapi keimanan yang kukuh yang didapati melalui jalan nazhor. Apabila telah terhasil keimanan yang kukuh, maka tidak ada lagi keperluan untuk melakukan penelitian atau nazhor. Inilah jalan para sahabat dan salafussoleh.
 
Pendapat yang muktamad dalam masalah ini adalah pendapat jumhur yang mewajibkan nazhor. Tetapi haruslah difahami bahawa nazhor yang wajib di sini adalah pemerhatian berdasarkan cara orang awam, yang mampu memberikan pengetahuan yang mereka yakini bersandarkan dalil ijmali. Seperti kata-kata mereka: "kesan tapak kaki adalah tanda adanya orang yang berjalan, suara dan bunyi tanda adanya orang yang bercakap. Jika begitu, bumi yang indah ini, yang tersusun rapi segala kejadiannya,  adalah tanda wujudnya pencipta yang berkuasa, yang menjadikannya dan mengurus tadbirnya." Adapun nazhor berdasarkan cara mutakallimin maka hukumnya adalah fardhu kifayah bagi orang yang berkelayakan dalam urusan tersebut, dan cukup hanya sebahagian golongan manusia yang melaksanakannya.
 
Natijah daripada perbezaan pendapat di atas terhasil lima pendapat yang berbeza-beza berkenaan hukum muqallid dalam urusan aqidah:
  1. Orang yang bertaqlid dalam aqidah sah imannya tetapi berdosa, tidak kira sama ada dia berkeahlian untuk melakukan pemerhatian atau tidak.
  2. Orang yang bertaqlid dalam aqidah sah imannya tetapi berdosa jika dia berkeahlian untuk melakukan pemerhatian. Jika tidak maka dia tidak berdosa.
  3. Orang yang bertaqlid kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang qat'ie (yang sahih lagi mutawatir) sah imannya, kerana mengikuti  dalil yang qat'ie. Orang yang bertaqlid kepada selain kedua ini tidak sah imannya, kerana mengikuti perkara yang tidak selamat dari kesalahan (bukan maksum).
  4. Boleh bertaqlid dan tidak berdosa, kerana nazhor adalah syarat sempurna iman, bukan syarat sah iman. Oleh itu, orang yang meninggalkan nazhor telah meninggalkan perkara yang lebih awla dan utama.
  5. Sah iman orang yang bertaqlid dan haram baginya nazhor. Ini kerana nazhor selalunya menjadi tempat kegelinciran dan kesesatan disebabkan perbezaan bentuk dan cara pemikiran. Berbeza dengan taqlid yang lebih selamat dan lebih patut untuk dipraktik. Dan pengharaman nazhor yang dimaksudkan di sini adalah nazhor yang dicampuri ilmu falsafah.
 
Benarkah meninggalkan penelitian dan nazhor hukumnya berdosa?
 
Para alim ulama' yang terdahulu tidak pernah menyebut atau mensabitkan dosa bagi orang yang meninggalkan nazhor. Hanya sahaja ulama' yang terkemudian menghukumi peninggal nazhor berdosa kerana dia telah meninggalkan perkara yang wajib, kerana ia (nazhor) adalah wasilah kepada perkara yang wajib iaitu terhasilnya iman yang kukuh. Namun nazhor bukanlah syarat diterima iman. Oleh itu, jika terhasil iman, maka terangkatlah kewajipan nazhor yang menjadi wasilah mencapai iman. Maka muqallid yang mempunyai iman yang jitu tidaklah berdosa kerana sudah terangkat kewajipan bernazhor dari dirinya. Adapun taqlid yang diharamkan maka yang dimaksudkan dengannya adalah berpegang dengan kata-kata orang lain tanpa disertai keyakinan yang kukuh. Dalam keadaan ini, iman orang tersebut tidak selamat serta terdedah kepada syak dan keraguan, dan dirinya pula terikat dengan rantai hukuman yang berbeza-beza berdasarkan perbezaan pendapat ulama seperti yang telah dinyatakan tadi.
 
Kontroversi pendapat Imam Abil Hasan Al-Asy'ari.
 
Dalam riwayat yang lain, Imam Abul Hasan Al-Asy'ari berpendapat bahawa iman muqallid tidak sah, bahkan orang tersebut dihukum kafir. Ini kerana beliau menganggap nazhor sbagai syarat sah iman. Oleh kerana pendapat yang amat kontroversi ini, beliau telah dicerca dengan cercaan yang amat dahsyat kerana pendapatnya ini telah mengeluarkan majoriti ummat Islam (yang terdiri dari orang awam yang tidak berkeahlian untuk melakukan nazhor) dari daerah keimanan.
 
Hakikatnya, perbezaan pendapat yang berlaku antara Imam Al-Asy'ari dan para ulama selainnya hanyalah perbezaan lafzi (secara lafaz), bukanlah perbezaan maknawi (secara makna). Ini kerana Imam Al-Asy'ari melihat pada sisi yang berbeza dengan sisi yang dilihat oleh selainnya. Ulama' yang mengatakan bahawa iman muqallid sah, melihat jika apa yang terhasil dari taqlid itu tadi adalah keyakinan yang mantap, maka imannya sah. Inilah intisari sabda Nabi: عليكم بدين العجائز. Kesahihan iman muqallid ini juga tidak diingkari oleh Imam Al-Asy'ari.
 
Imam Al-Asy'ari pula mengatakan bahawa iman muqallid tidak sah, kerana melihat jika orang yang bertaqlid hanya menerima kata-kata orang lain tanpa ada keyakinan yang mantap beserta kemungkinan wujudnya waham atau syak pada imannya, maka dalam hal ini tidak terhasil sama sekali iman dan tasdiq pada diri muqallid. Ulama selain Imam Al-Asy'ari juga tidak bercanggah pada perkara ini. Dengan penerangan ini, maka terzahirlah permuafakatan antara Al-Imam dan ulama' selainnya dalam masalah taqlid, dan terbuktilah bahawa perbezaan yang berlaku hanyalah pada lafaz dan ungkapan, bukan pada makna dan pemahaman. Wallahua'lam.
 
 
*Terjemahan dan olahan dari kitab الرائد في علم العقائد karangan Syeikh Al-Arabi Al-Lauh. Kitab ini merupakan cetakan pertama Kuliyah Usuliddin Universiti Qurawiyin, Tetuoan, Maghribi, dan masih digunakan sebagai silibus pengajian akidah di kuliah tersebut.

No comments:

Post a Comment