Pages

Wednesday, January 25, 2017

DARI ILMU FIQH KEPADA ILMU MUNAZHOROH


Sebelum ini, saya banyak membaca kitab-kitab fiqh berbanding kitab ilmu lain kerana bagi saya ilmu fiqh adalah satu keperluan yang sentiasa melazimi manusia. Namun setelah beberapa ketika saya menjadi bosan dan tidak puas dengan apa yang disebut oleh pengarang-pengarang kitab fiqh; sebabnya saya tidak mengetahui bagaimana mereka mengeluarkan hukum-hukum tersebut, saya tidak memahami proses pengeluaran hukum, jadi bagaimana saya menerima hukum tersebut tanpa memahami sumber ambilannya? Ya, memang sumber ambilannya adalah Al-Qur'an dan Hadis, tetapi apa metodologi yang digunakan untuk menatijahkan hukum-hukum itu? saya tertanya-tanya bagaimana para ulama' mengeluarkan hukum dari Al-Qur'an dan hadis? 

Jawapan yang saya dapat adalah mereka menggunakan usul fiqh. Maka saya cuba mentelaah ilmu usul fiqh, malangnya saya hanya mendapati kaedah-kaedah umum dan asas-asas yang bersifat universal tanpa disertai sebarang contoh pengaplikasian kaedah-kaedah ini, yang mana saya anggap contoh pengaplikasiannya merupakan jalan terbaik menjelaskan hal tersebut selepas memahami definisi kaedah-kaedah itu. Hal ini menyebabkan maklumat-maklumat dalam fikiran saya tidak terkait antara satu sama lain, dan jauh sekali untuk menghasilkan kefahaman baharu. 

Maka saya beralih ke bidang ilmu lain yang lebih jelas logiknya; ilmu kalam. Saya pun mula mempelajari hukum logik akal dan cara mengaplikasikannya, mempelajari kitab-kitab ulama' kalam yang sentiasa memerlukan khidmat akal dan penelitian dalam berfikir. Saya dapati para pengarang dalam bidang ilmu ini sentiasa mengaitkan isu yang dibincangkan dengan logik akal, ini adalah satu perkara yang bagus bagi saya. Saya dapat memahami perkataan mereka seperti yang mereka fahami, bukan hanya mengagak-agak dan meneka maksud perkataan mereka. 

Namun ternyata hidup tidak semudah yang disangkakan, saya terkadang berfikir di luar kotak pemikiran para pengarang dan terkadang merasakan logik mereka boleh disanggah, tetapi jika dilihat secara adat kebiasaan, mereka ini adalah para ulama' yang menguasai bidang ini lebih dari saya yang baru bertatih, maka apakah yang menghalang mereka untuk berfikir seperti apa yang saya fikirkan. Saya dapati jawapannya; pemikiran mereka mempunyai garis panduan yang jelas yang mengelak mereka dari tergelincir ke lembah kesalahan dalam berfikir. Garis panduan mereka ini dinamai ilmu mantiq. Maka saya mulai menelaah ilmu ini, ilmu yang amat mengagumkan, yang menjelaskan bahawa anugerah akal bukanlah hadiah picisan dari Tuhan. bahkan jika akal dapat diwarisi maka ia adalah sebaik-baik warisan. 

Namun, sejuh mana kehebatan ilmu ini, ia masih tidak dapat menghilangkan kehausan saya, ini kerana ilmu ini gersang dari percambahan maklumat dalam skala yang besar; paling banyak pun ia hanya dapat menghasilkan satu natijah bagi dua mukadimah atau lebih, yang didahului oleh pembenaran atau penipuan nisbah antara subjek dan predikat. Di samping itu, ia hanyalah berbentuk rangka dan prinsip seperti halnya ilmu usul fiqh. Ia juga hanya mengkaji dan memerhati secara literal atau tersurat, bukan tersirat, sedangkan ulama' kalam atau fuqaha' ketika mengkaji sesuatu isu, mereka mengkaji yang tersurat dan tersirat. seperti yang jelas kelihatan apabila ulama' kalam mula membuat berbagai andaian bafi satu-satu permasalahan, yang terkadang andaiannya ini tidak terfikir oleh orang biasa, kemudian mereka mula menjawab andaian-andaian mereka itu. Saya pasti mereka menggunakan ilmu mantiq dalam menghurai dan menjawab andaian dan persoalan yang mereka sendiri lontarkan itu, tetapi saya tidak menjumpai bentuk perbincangan mereka itu dalam ilmu mantiq; bentuk perbincangan yang mendatangkan kesemua persoalan yang mungkin terjadi, kemudian dijawab satu-persatu sehingga tidak ada keraguan bahawa perkara yang berbaki itu adalah benar atau salah. Antara istilah yang banyak digunakan dalam perbincangan ini: jika kamu katakan/jika dikatakan... maka saya manjawab/maka dijawab... saya tidak menerima kenyataan kamu... kenapa ia tidak menjadi begini.. jika ia seperti yang kamu katakan pasti natijahnya begini.. kata-kata kamu membawa kepada tasalsul dan daur yang mustahil.. kenyataan kamu bertentangan.. dan banyak lagi. 

Jadi saya gunakan kata-kata kunci ini untuk memburu dan mengenalpasti ilmu ini, saya akhirnya dipertemukan dengan ilmu munazhoroh, ilmu yang menjaga akal dari kesalahn dalam membuat pemerhatian terhadap perkara yang halus dan rumit. Melalui ilmu inilah maklumat-maklumat yang membeku dalam fikiran saya mula mencair dan bercantum, mula menampakkan hubungkait antara mereka, saya mula memahami bagaimana ulama' fiqh mengeluarkan hukum, saya mula memahami kaedah dan batasan bagi satu-satu usul dalam ilmu usul fiqh, saya mula memahami rentak ulama' kalam dalam perbincangan mereka, dan boleh jadi saya juga mulai melihat sinar ilmu falsafah. 

Saya tidak tahu berapa lama lagi masa yang berbaki untuk hidup di dunia ini, berapa banyak lagi keajaiban yang akan Allah tunjukkan kepada saya, namun apa yang saya harapkan adalah saya sentiasa bersyukur dan tidak lalai dari melihat keagungan Allah dalam setiap kejadian, dan berjaya memperoleh pengakhiran yang baik seperti yang Allah kurniakan kepada Imam Al-Ghazali, seperti yang beliau ceritakan dalam kitabnya Al-Munqiz Min Ad-Dholal.

No comments:

Post a Comment