Pages

Sunday, June 5, 2016

Sebab Kebanyakan Orang Susah Memahami Akidah Asy'ariyyah dan Sering Menolaknya


Sebahagian manusia sukar untuk memahami dan menerima mazhab Imam Abil Hasan Al-Asy'ari. Dan mereka ini kebiasaannya juga menolak golongan sufi dan tarekat. Para ulama' yang cuba menangani dan merungkai masalah ini mendapati bahawa antara sebab penolakan mereka terhadap Imam Asy'ari dan aqidahnya adalah tidak memahami kata-kata beliau yang mendalam, seperti mana mereka tidak memahami kata-kata para sufi. Akhirnya, mereka menghukum isu-isu yang tidak mereka fahami ini dengan hukuman yang berat seperti sesat dan terpesong.

Abu Sulaim Al-Ayyashi dalam kitab Ar-Rihlah menyebut:

"Pada suatu hari guruku Mulla Ibrahim berkata kepadaku: Tidak aku dapati suatu mazhab dari mazhab ahli kalam, yang dekat dan menyerupai mazhab arifin billah, melainkan mazhab Imam Abil Hasan Al-Asy'ari. Maka kamu tidak akan dapati golongan arifin dan ahli kasyaf bercakap dalam satu permasalahan dengan pendapat yang bercanggah dengan ahli kalam, melainkan kamu dapati Imam Asy'ari pasti berpendapat dengan pendapat yang menyerupai pendirian para arifin.... Bahkan tempat yang menjadi kontroversi dan dipermasalahkan dari kata-kata beliau sama seperti yang terdapat dalam kata-kata ahli kasyaf. Oleh itu, golongan yang tidak mencapai martabat makrifat beliau sudah pasti menghadapi masalah untuk memahaminya.

Contohnya, kata-kata beliau: إن وجود كل شيء عينه (Sesungguhnya wujud semua perkara adalah zat perkara tersebut). Ia sama seperti kata-kata mereka dalam masalah wujud mutlak dan wahdatul wujud. Dan kata-kata beliau dalam membahaskan sifat Allah: لا هي هو، ولا هي غيره (Sifat-sifat Allah itu bukanlah Zat Allah, Dan bukan juga perkara lain dari Zat-Nya) ia sama seperti kata-kata arifin dalam masalah al-Kasb dan al-istitho'ah....

Barangsiapa yang meneliti kitab-kitab para arifin seperti Al-Kalabazi pasti dia akan mendapati mazhab mereka ini tidak berbeza dengan pendirian Ahlussunnah Wal Jamaah pada perkara yang disepakati, dan dia juga pasti mendapati pendirian golongan ini dekat dengan pendirian Imam Asy'ari pada perkara yang tidak disepakati."


Telah berkata Al-Allamah Sidi Abdul Qodir Bin Ali Al-Fasi tatkala diceritakan kepadanya kata-kata Abu Sulaim Al-Ayyashi:

"Tidak Syak lagi Imam Asy'ari mempunyai ilmu yang luas mengenai Tuhannya, begitu juga mempunyai pengetahuan yang  mendalam berkenaan ilmu makrifat... Kalaulah tidak kerana Allah telah menjadikan beliau banyak berdebat dan melawan golongan yang sesat, dan mendirikan hujah-hujah sesuai metodologi ahli kalam, nescaya beliau telah menjadi pemimpin bagi jalan ini, ketua para arifin pada zamannya. Sesungguhnya para Ahlul Bashiroh yang hidup sezaman dengannya mengakui hal ini."

*rujukan: الأزهر الطيبة النشر فيما يتعلق ببعض العلوم من المبادئ العشر للطالب ابن الحاج الفاسي

No comments:

Post a Comment