Gambar Hiasan |
Sebagai
seorang muslim, anda mestilah memahami dan mengetahui batas-batas syara’
dalam pergaulan seharian. Lebih-lebih lagi apabila melakukan tugas yang
memerlukan komunikasi dan interaksi dengan bukan mahram. Di sini saya akan
memberi penerangan hukum ikhtilath berdasarkan Kitab Mausu’ah Fiqhiyyah
Kuwaitiyyah.[1]
Hukum
ikhtilath antara lelaki dan perempuan berubah mengikut keadaan, jika ikhtilath
tersebut menepati aturan syariah maka ia dibolehkan. Namun jika ia melanggar
qawa’id syariah maka ia diharamkan. Ikhtilath
jika terdapat di dalamnya :
-
Bersendirian dengan ajnabi dan memandang kearahnya dengan syahwat.
-
Tidak bersopan santun dan beradab.
- Bersuka ria, bersentuhan antara ajnabi seperti percampuran ketika
sambutan hari jadi dan perayaan.
Ikhtilat
seperti yang diterangkan di atas adalah haram kerana menyalahi qawa’id syariah.
Firman Allah Taala :
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ
يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ
( katakanlah
kepada lelaki yang beriman agar mereka menjaga pandangannya )[2]
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ
يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ
( katakanlah
kepada perempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya )[3]
Allah Taala berfirman berkenaan wanita :
وَلا يُبْدِينَ
زِينَتَهُنَّ
( dan
janganlah menampakkan perhiasannya [auratnya] )[4]
وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ
مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ ۚ
( apabila kamu
meminta sesuatu [keperluan] kepada mereka [isteri-isteri Nabi] maka mintalah
dari belakang tabir)[5]
Sabda Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi
Wasallam :
لَا
يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ فَإِنَّ ثَلِثَهما الشَيطَانُ
( tidaklah
bersendirian seseorang lelaki dengan perempuan [ajnabi] melainkan yang ketiga
antara keduanya itu adalah syaitan )[6]
Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wasallam
bersabda kepada Asma’ Binti Abu Bakar : Wahai Asma’, sesungguhnya perempuan
apabila keluar haidh ( baligh ) tidak boleh dilihat darinya melainkan ini dan
ini. Rasulullah mengisyaratkan kepada wajah baginda dan kedua telapak
tangannya.[7]
Ulama’ bersepakat (ittifaq) bahawa
haram bersentuhan antara lelaki dan perempuan ajnabi melainkan jika perempuan
tersebut bersangatan tua dan tidak menimbulkan syahwat maka tidak mengapa
bersalaman dengannya. Ibn Farhun berkata : “ Di dalam kenduri perkahwinan yang
bercampur padanya lelaki dan wanita, tidak diterima penyaksian sebahagian
mereka kepada sebahagian yang lain jika terdapat di dalam majlis tersebut
perkara yang haram di sisi syara’. Ini kerana kehadiran mereka ke tempat yang
demikian menjatuhkan sifat ‘adaalah.”
Dan dikecualikan dari ikhtilath
yang haram : rawatan doktor ke atas pesakit dengan melihat kearahnya dan
memegangnya kerana darurat. Ini berdasarkan kaedah الضرورات تبيح
المحظورات ( perkara darurat membolehkan perkara yang ditegah ).
Dibolehkan ikhtilath jika terdapat
hajat yang disyariatkan dengan syarat menjaga batasan-batasan syariat. Oleh
itu, dibenarkan bagi para wanita untuk keluar rumah bagi melaksanakan solat
berjemaah dan solat sunat hari raya. Sebahagian ulama’ pula membenarkan para
wanita keluar melaksanakan fardhu haji dengan ditemani lelaki yang boleh
dipercayai.
Begitu juga dibenarkan muamalat
antara lelaki dan perempuan seperti jual beli, sewaan dan sebagainya. Imam
Malik telah ditanya berkenaan perempuan tua yang tidak berkahwin, yang meminta
bantuan dari seorang lelaki. Kemudian lelaki tersebut membantunya dan
menunaikan hajatnya, adakah perkara tersebut dianggap baik? Beliau berkata : “
Perkara tersebut tidak mengapa, dan aku lebih sukai jika lelaki tersebut masuk
bersama orang lain, dan jikalau orang ramai meninggalkan perempuan tersebut (
dengan urusan keperluannya ) nescaya dia akan binasa.” Ibn Rusyd berkata : “
Perkara ini (hanya dibolehkan) seperti beliau (Imam Malik) katakan jika lelaki
tersebut menundukkan pandangannya dari melihat sesuatu yang tidak dihalalkan
baginya.” Wallahua’lam.
*Terjemahan dan olahan dari Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah.
*Terjemahan dan olahan dari Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah.
No comments:
Post a Comment