Pages

Thursday, March 20, 2014

BERZIKIR DENGAN SUARA YANG KUAT ATAU PERLAHAN

Gambar Hiasan

Hal ini telah disebut dan diterangkan oleh Al-Imam Jalaluddin Abdul Rahman Bin Abi Bakr As-Suyuthi di dalam sebuah risalah beliau yang bertajuk نتيجة الفكر في الجهر بالذكر.[1] Risalah tersebut pada asalnya adalah jawapan beliau terhadap persoalan adakah makruh atau tidak melakukan halaqah-halaqah zikir dan meninggikan suara ketika zikir seperti yang dibuat oleh para sufi.

Beliau pun menjawab : “Sesungguhnya tidak ada sama sekali makruh pada hal yang demikian itu, dan telah nyata hadis-hadis yang menuntut agar menguatkan suara ketika berzikir, dan terdapat juga hadis-hadis yang menuntut agar memperlahankan suara. Dan hasilnya apabila dihimpunkan kedua-duanya; sesungguhnya yang demikian itu (menguatkan dan memperlahankan suara ketika berzikir) berbeza-beza mengikut keadaan dan individu.”[2]

Kita dapati masalah ini seakan-akan masalah pembacaan Al-Quran yang telah di jelaskan oleh Imam Nawawi di dalam kitab beliau berjudul التبيان في آداب حملة القرآن  pada fasal mengangkat suara ketika Membaca Al-Qur’an. 

Beliau berkata : Ketahuilah bahawasanya telah datang hadis-hadis di dalam kitab hadis yang sahih dan di dalam kitab selainnya yang menunjukkan kesunatan menyaringkan suara ketika pembacaan Al-Quran. Dan juga telah datang atsar yang menunjukkan kesunatan membacanya dengan perlahan.... Berkata Imam Abu Hamid Al-Ghazali dan ulama’ yang lain : “kaedah menghimpunkan hadis dan atsar yang berbagai di dalam permasalahan ini ialah; sesungguhnya memperlahankan suara itu jauh daripada riya’, dan ia lebih afdhol bagi individu yang takut timbul perasaan riya’. Jika dia tidak takut perkara itu, maka meninggikan suara dan menyaringkannya lebih afdhol. Ini kerana amal padanya lebih banyak, dan faedahnya sampai kepada orang lain. Dan perkara yang menjangkaui orang lain itu lebih baik daripada perkara yang sebaliknya. Selain itu, ia juga menghidupkan hati pembacanya, menghimpunkan tumpuannya untuk berfikir berkenaan ayat yang dibaca, memberi perhatian pendengarannya pada bacaannya, menghilangkan mengantuk, menambah tenaga, menggerakkan orang yang tidur dan menyedarkan orang yang lalai serta menyegarkan mereka.” Mereka juga berkata : “Jika pembacanya mempunyai salah satu niat daripada perkara ini, maka lebih afdhol baginya menyaringkan suara. Dan jika terkumpul semua niat-niat ini nescaya berganda ganjaran pahalanya.[3]

Imam Suyuthi kemudiannya menyenaraikan dua puluh lima hadis yang membenarkan berzikir secara nyaring. Antaranya :

أخرج مسلم والترمذي عن معاوية أن النبي صلى الله عليه وسلم خرج على حلقة من أصحابه فقال: ما يجلسكم؟ قالوا: جلسنا نذكر الله ونحمده فقال: إنه أتاني جبريل فأخبرني أن الله يباهي بكم الملائكة[4]

أخرج البيهقي عن عبد الله بن مغفل قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما من قوم اجتمعوا يذكرون الله إلا ناداهم مناد من السماء قوموا مغفوراً لكم قد بدلت سيئاتكم حسنات[5]

أخرج الإمام أحمد في الزهد عن ثابت قال: كان سلمان في عصابة يذكرون الله فمر النبي صلى الله عليه وسلم فكفوا فقال: ما كنتم تقولون؟ قلنا نذكر الله، قال: إني رأيت الرحمة تنزل عليكم فأحببت أن أشارككم فيها، ثم قال: الحمد لله الذي جعل في أمتي من أمرت أن أصبر نفسي معهم[6]

Kesimpulan yang kita dapati daripada tulisan beliau ini, sesungguhnya hadis-hadis yang dinyatakan ini tidak sama sekali menunjukkan kemakruhan menyaringkan suara ketika berzikir. Bahkan pada hadis-hadis tersebut terdapat bukti (sama ada tersurat mahupun tersirat) yang menunjukkan kesunatannya. 

Memperlahankan suara itu lebih baik jika ditakuti riya’ dan mengganggu orang yang bersolat atau tidur. Manakala menjaharkan suara itu lebih baik pada selain keadaan tersebut. Wallahua’lam.

*Terjemahan dan olahan dari risalah bertajuk نتيجة الفكر في الجهر بالذكر.


[1] نتيجة الفكر في الجهر بالذكر cetakan Darul Rasyad Al-Haditsah, tahun 2011.
[2] نتيجة الفكر في الجهر بالذكر ms/21.
[3] التبيان في آداب حملة القرآن ms/58,59.
[4] Hadis dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahih beliau (2075/4), Kitab zikir,doa,taubat dan istighfar, Bab kelebihan berkumpul untuk membaca Al-Quran dan berzikir. Dan Imam Tirmizi di dalam sunan beliau (460/5).
[5] Hadis dikeluarkan oleh Al-Baihaqi di dalam kitab شعب الإيمان (401/1).
[6] Hadis dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Kitab Zuhud, daripada hadis Tsabit Al-Bannani, hadis mursal.

No comments:

Post a Comment