Gambar hiasan - solat hari raya di India |
Ulama’ telah menyebut bahawa ibadah
di sisi syara’ ialah perbuatan yang disertai dengan perasaan khudhu’ (rendah diri) sehabis
mungkin, dan dengan keyakinan (iktiqad) adanya sifat-sifat rububiyyah
(ketuhanan) atau satu dari sifat-sifat tersebut kepada yang direndahkan diri
kepadanya. Sifat-sifat ketuhanan itu contohnya seperti memberikan manfaat atau
mudharat mengikut kehendaknya.
Adapun perbuatan yang tidak disertai
dengan iktiqad ini, maka tidaklah ia dinamakan sebagai ibadah walaupun
perbuatan tersebut adalah sujud, lebih-lebih lagi perbuatan selainnya (sujud).
Dan dalil yang menunjukkan bahawa sujud yang tidak disertai iktiqad ini tidak
dikira sebagai ibadah ialah perintah Allah Taala agar para malaikat bersujud
kepada Nabi Adam maka merekapun bersujud. Dan Allah juga menceritakan di dalam
Al-Quran tentang Nabi Ya’qub, isterinya dan anak-anaknya yang bersujud kepada
Nabi Yusuf:
وَرَفَعَ أَبَوَيْهِ عَلَى الْعَرْشِ وَخَرُّوا لَهُ
سُجَّدًا[1]
Dan dia
menaikkan kedua orang tuanya ke atas siggahsana. Dan mereka (semua) tunduk
bersujud kepadanya.
Al-Hafizh Ibn Katsir berkata di
dalam tafsir beliau: “Yakni: telah bersujud kepada Nabi Yusuf ibu, ayah dan
saudara-saudara lelakinya dan jumlah mereka adalah sebelas orang. Dan
sesungguhnya perkara ini (sujud) diharuskan dalam syariat-syariat mereka.
Ketika mereka memberi penghormatan kepada orang yang lebih besar, mereka
bersujud kepadanya. Hal ini diperbolehkan sejak zaman Nabi Allah Adam dan
berterusan sehingga zaman syariat Nabi Isa. Manakala di dalam syariat Nabi
Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wasallam, sujud hanya dikhususkan bagi Allah dan
haram bagi selainNya.
Telah diriwayatkan di dalam sebuah
hadis bahawa Sayyidina Muaz telah menuju ke negeri Syam dan beliau mendapati
penduduk di sana bersujud kepada pembesar agama mereka. Maka tatkala pulang
beliaupun sujud kepada Rasul Shollallahu ‘Alaihi Wasallam. Maka berkata Rasul:
apakah (perbuatan) ini wahai Muaz? Beliau berkata: sesungguhnya aku melihat
mereka bersujud kepada pembesar agama mereka, dan sesungguhnya kamu lebih layak
untuk disujud. Nabi berkata: jikalau aku boleh memerintah agar seseorang sujud
kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang perempuan
bersujud kepada suaminya.[2]
Tujuan dari kata-kata ini ialah pemberitahuan bahawa perbuatan ini dibolehkan
dalam syariat mereka (yang terdahulu).”[3]
Jikalau semata-mata sujud kepada
selain Allah dikira sebagai ibadat secara mutlak, sudah pasti hal ini tidak
diperbolehkan di dalam mana-mana syariat. Kerana ibadah kepada selain Allah
bererti kufur. Dan perkara-perkara yang membawa kepada kekufuran tidaklah
berubah disebabkan berubahnya syariat. Dan Allah tidak akan menyuruh hambanya
ke arah kekufuran dalam apa keadaan sekalipun. Firman Allah:
وَلَا يَرْضَى لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ[4]
Dan Dia tidak meredhai kekufuran bagi
hamba-hambaNya
Maka diketahui bahawa sujud dan
selainnya yang termasuk dalam jenis-jenis merendahkan diri, tidaklah dikira
sebagai ibadah disisi syariat melainkan apabila disertai iktiqad yang telah
disebut. Contohnya sujud dan doa kaum musyrikin kepada tuhan-tuhan mereka yang
disertai dengan iktiqad bahawa berhala-berhala tersebut mempunyai sifat
rububiyyah. Sesungguhnya mereka itu menjadi kufur kerana iktiqad mereka bahawa berhala
tersebut mampu memberi manfaat dan mudharat serta menjalankan sesuatu sesuai
dengan kehendaknya sendiri.
Golongan musyrikin ini menganggap
Allah sebagai tuhan yang paling besar, dan mereka juga beranggapan bahawa
berhala-berhala mereka mempunyai sifat ketuhanan tetapi tidak sama seperti
sifat-sifat Allah. Dan perkara yang menjadi kelaziman bagi berhala sembahan
mereka itu ialah wajibnya terjadi apa yang berhala itu kehendaki, dan syafaat
dari berhala-berhala tersebut diterima, tidak tertolak, juga tidak terhenti
atas keizinan Allah. Allah Taala telah berfirman di dalam Al-Quran bagi menafikan iktiqad mereka ini:
أَمَّنْ هَذَا الَّذِي هُوَ جُنْدٌ لَكُمْ يَنْصُرُكُمْ
مِنْ دُونِ الرَّحْمَنِ إِنِ الْكَافِرُونَ إِلَّا فِي غُرُورٍ[5]
Atau siapakah yang akan menjadi bala tentera
bagimu yang dapat membelamu selain (Allah) yang Maha Pengasih? Orang-orang
kafir itu hanyalah dalam keadaan tertipu
أَمْ لَهُمْ آَلِهَةٌ تَمْنَعُهُمْ مِنْ دُونِنَا
لَا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَ أَنْفُسِهِمْ وَلَا هُمْ مِنَّا يُصْحَبُونَ[6]
Atau mereka mempunyai tuhan-tuhan yang dapat
memelihara mereka dari azab Kami? Tuhan-tuhan mereka itu tidak mampu menolong
diri mereka sendiri dan tidak pula mereka dilindungi dari (azab) Kami.
Adapun permintaan seseorang kepada
Allah melalui wasilah, memohon syafaat Nabi, beristighasah dengannya, bernazar
dan menyembelih haiwan untuk bersedekah bagi salah seorang dari kalangan nabi
atau wali, menyentuh dan bertawaf di kubur, walaupun sebahagian dari amalan ini
ditegah dari dilakukan namun kesemuanya itu tidaklah dianggap sebagai ibadah
kepada selain Allah. Ini kerana tidak terdapat seorangpun dari kalangan
muslimin yang beriktiqad adanya sifat ketuhanan bagi selain Allah, atau
beriktiqad adanya pada selain Allah kuasa memberi manfaat atau mudharat atau
memberi apa-apa kesan.
Ketahuilah, sesungguhnya golongan
yang tergesa-gesa mengkafirkan kaum muslimin, mereka adalah golongan yang
jahil. Mereka telah melakukan kesalahan yang nyata bertentangan dengan prinsip
ahli kebenaran dan ahli mazhab yang sohih. Dan masalah yang demikian itu
terjadi kerana tidak menyedari dan mengambil berat akan makna dan hakikat
ibadah. Dan makna serta hakikat ibadah itu adalah (seperti yang telah
dinyatakan) :
Perbuatan yang
disertai dengan perasaan khudhu’ (rendah
diri) sehabis mungkin, dan dengan keyakinan (iktiqad) adanya sifat-sifat
rububiyyah (ketuhanan) atau satu dari sifat-sifat tersebut kepada yang
direndahkan diri kepadanya.
Oleh itu, kenali dan fahamilah hakikat ini agar kamu tidak
tergelincir dalam langkahmu. Wallahua’lam.
*Terjemahan dan olahan dari kitab: الأجوبة الغالية في عقيدة الفرقة الناجية karangan Allamah Habib Zainul ‘Abidin Ba ‘Alawi.
[1] Surah Yusuf, ayat 100.
[2] Hadis seperti yang disebutkan telah diriwayatkan oleh Ibn Majah,
Ahmad, dan Ibn Hibban dari hadis Abdullah Bin Abi Awfa Radhiyallahu ‘anhu. Dan
Syeikh Al-Arnaouth mensahihkan sanad Ibn Hibban. Sabda Nabi لو كنت آمرا
(jikalau aku adalah orang yang menyuruh...) dikeluarkan oleh At-Tirmizi dan
selainnya.
[3] Rujuk Tafsir Ibn Katsir (644:2)
[4] Surah Az-Zumar, ayat 7.
[5] Surah Al-Mulk, ayat 20.
[6] Surah Al-Anbiya’, ayat 43.
No comments:
Post a Comment