Al-Hafiz
Al-Muhaddits Syeikh Abdullah Bin Muhammad Bin Siddiq Al-Ghumari Rahimahullah
Taala merupakan salah seorang tokoh ulama’ Maghribi yang bermazhab aqidah Asy’ari
dan fiqh Maliki. Beliau yang juga merupakan seorang tokoh sufi telah banyak
menyumbang jasa terhadap dunia Islam melalui karya-karya ilmiahnya dalam
pelbagai bidang ilmu. Ketinggian ilmu beliau dalam bidang hadis menjadikan hampir
kesemua tulisan beliau dipenuhi nas-nas nabawi. Selain itu, kefaqihan beliau
juga dapat kita lihat dalam metod beliau bertaamul dengan nas-nas tersebut.
Salah
satu tulisan beliau yang wajar diketengahkan adalah kitab Husnul Bayan Fi
Laylatin Nisfi Min Sya’ban, yang menghuraikan berkenaan:
·
Sejarah
permulaan sambutan nisfu Sya’ban
·
amalan-amalan
yang dianjurkan pada malam hari tersebut
·
Hadis
berkenaan kelebihan malam nisfu Sya’ban
·
Berkenaan
doa yang dikhususkan pada malam tersebut
·
Berkenaan
solat yang dikhususkan padanya
·
Kesimpulan
Sebahagian
terjemahan kitab…
Sambutan
malam nisfu Sya’ban mula diadakan oleh para tabiin dari ahli Negeri Syam
seperti Khalid Bin Ma’dan, Makhul, Luqman Bin Amir dan selainnya. Mereka memuliakan
malam tersebut dan beribadah dengan bersungguh-sungguh padanya. Dikatakan bahawa
telah sampai kepada mereka sebuah riwayat israiliyyah berkenaan perkara
tersebut. Kemudian orang ramaipun mengikuti perbuatan mereka dan sambutan ini
menjadi masyhur. Dan terjadi perbezaan pendapat ulama’ berkaitan hal ini.
Satu
kumpulan ahli ibadah dari Basroh bersetuju dengan pendapat ahli Syam dalam
membesarkan malam tersebut. Adapun kebanyakan ulama Hijaz mengingkari perbuatan
tersebut bahkan membid’ahkannya. Antara ulama tersebut adalah Atho’, Ibn Abi
Malikah dan fuqoha’ Madinah, ini juga merupakan pendapat Ashab Imam Malik. Ibn Waddhah
meriwayatkan dari Zaid Bin Aslam, beliau berkata: “Kami tidak menemui seorangpun
dari masyayikh dan fuqoha’ -di Madinah- yang berpendapat boleh menyambut malam
nisfu Sya’ban, dan mereka juga tidak mengambil hadis Makhul. Mereka juga tidak
berpendapat bahawa malam tersebut mmpunyai kelebihan berbanding selainnya.”
…tamat
terjemahan…
Namun
sebahagian ulama menyatakan bahawa menghidupkan malam nisfu Sya’ban adalah
dianjurkan (mustahab). Antara ulama’ yang berpendapat sedemikian adalah Imam
Mazhab Syafie seperti yang beliau sebutkan di dalam Al-Umm.
أخبرنا الربيع قال أخبرنا الشافعي قال أخبرنا إبراهيم بن محمد قال أخبرنا
ثور بن يزيد عن خالد بن معدان عن أبي الدرداء قال : " من قام ليلة العيد محتسبا
لم يمت قلبه حين تموت القلوب."
قال الشافعي : وبلغنا أنه كان يقال : إن الدعاء يستجاب في خمس ليال
في ليلة الجمعة , وليلة الأضحى , وليلة الفطر , وأول ليلة من رجب , وليلة النصف من
شعبان
أخبرنا الربيع قال أخبرنا الشافعي قال أخبرنا إبراهيم بن محمد قال رأيت
مشيخة من خيار أهل المدينة يظهرون على مسجد النبي صلى الله عليه وسلم ليلة العيد فيدعون
ويذكرون الله حتى تمضي ساعة من الليل , وبلغنا أن ابن عمر كان يحيي ليلة جمع , وليلة
جمع هي ليلة العيد لأن صبيحتها النحر.
قال الشافعي : وأنا أستحب كل ما حكيت في هذه الليالي من غير أن يكون
فرضا
Tidak dinafikan bahawa dalil-dalil
yang digunakan dalam masalah ini kesemuanya adalah dhoif, namun ulama’ membenarkan
beramal dengan hadis-hadis dhoif ini di dalam bab fadhoil a’mal dengan
syarat-syarat tertentu. Imam Nawawi menyatakan di dalam Al-Majmuk:
قال أصحابنا : يستحب إحياء ليلتي العيدين
بصلاة أو غيرها من الطاعات ( واحتج ) له أصحابنا بحديث أبي أمامة عن النبي صلى الله
عليه وسلم { من أحيا ليلتي العيد لم يمت قلبه يوم تموت القلوب } وفي رواية الشافعي
وابن ماجه : " { من قام ليلتي العيدين محتسبا لله تعالى لم يمت قلبه حين تموت
القلوب } رواه عن أبي الدرداء موقوفا , وروي من رواية أبي أمامة موقوفا عليه ومرفوعا
كما سبق , وأسانيد الجميع ضعيفة ...
واستحب الشافعي والأصحاب الإحياء المذكور
, مع أن الحديث ضعيف , لما سبق في أول الكتاب أن أحاديث الفضائل يتسامح فيها , ويعمل
على وفق ضعيفها
Kemudian
Syeikh Abdullah Al-Ghumari meneruskan perbahasan berkaitan cara menghidupkan
malam tersebut. Sebahagian ulama’ seperti Khalid Bin Ma’dan, Luqman Bin ‘Amir,
dan Ishaq Bin Rahuyah menganjurkan agar sambutannya diadakan secara berjemaah
di masjid. Manakala sebahagian ulama berpendapat makruh untuk mengadakan
perhimpunan di masjid untuk solat dan berdoa secara berjemaah, namun tidak
makruh jika seseorang itu solat bersendirian pada malam tersebut. Ini adalah
pendapat Imam Auzaie. Syeikh Abdullah Al-Ghumari kemudiannya menyatakan bahawa
bapa beliau berpegang dengan pendapat pertama, beliau menyeru ikhwannya agar
berkumpul di Zawiyah Siddiqiyyah pada malam tersebut untuk berzikir, membaca
Al-Quran dan berdoa.
Terjemahan
kesimpulan (khulasoh) dari kitab beliau…
1.
Sesungguhnya
kelebihan malam nisfu Sya’ban telah sabit secara keseluruhannya (berdasarkan
hadis-hadis) dan orang yang mengingkarinya (menolaknya) secara mutlak seperti
yang dilakukan oleh Ibn Al-Arabi Al-Ma’afiri adalah salah.
2.
Disunatkan
untuk menghidupkan malam tersebut dengan pelbagai jenis ibadah. Dan hal
tersebut dilakukan pada waktu malam seperti yang telah maklum dan tersebut di
dalam hadis-hadis.
3.
Perbuatan
yang banyak dilakukan oleh orang awam pada malam hari tersebut selepas maghrib dengan
membaca Surah Yaasin sebanyak 3 kali dengan niat yang pelbagai, diikuti dengan doanya
yang masyhur adalah suatu bid’ah yang ditegah. Ia tidak sepatutnya dilakukan
kerana terkandung di dalamnya keburukan-keburukan. Dan sejelek-jelek keburukan
itu adalah i’tiqad bahawa dengan doa tersebut Allah akan mengampunkan segala
perbuatannya dan memindahkan namanya dari golongan yang celaka kepada golongan
yang bahagia. Maka dengan I’tiqodnya itu tadi, dia berterusan dalam kemaksiatan
dan tidak bertaubat.
4.
Sesungguhnya
solat 100 rakaat, atau 50, atau 12, dengan cara yang khusus pada malam hari
tersebut adalah satu perkara yang bathil, tidak ada asal dan tidak patut
dilakukan. Dan sepatutnya seseorang itu bersolat sekadar kemampuannya tanpa
ditentukan kadar tertentu.
5.
Sayugianya
bagi insan untuk menyambut kedatangan malam ini dengan taubat yang benar dan
ikhlas agar dia berjaya mendapat anugerah Allah seperti dalam firman-Nya:
ياأيها الذين آمنوا توبوا إلى الله توبة نصوحا عسى ربكم أن يكفر عنكم سيئاتكم
ويدخلكم جنات تجري من تحتها الأنهار يوم لا يخزي الله النبي والذين آمنوا معه نورهم
يسعى بين أيديهم وبأيمانهم يقولون ربنا أتمم لنا نورنا واغفر لنا إنك على كل شيء قدير
…tamat terjemahan…
Perhatian:
Perhatian:
Berdasarkan penerangan Syeikh Abdullah
Al-Ghumari dalam kitab beliau ini pada ms/18 & 19, beliau menyatakan bahawa
pembacaan Yaasin dengan kaifiat tersebut (dibaca sebanyak tiga kali, setiapnya
disertai niat tertentu) dan solat sunat yang disertai dengan niat tertentu
adalah amalan yang bathil kerana ketiadaan dalil yang khusus berkaitan amalan
tersebut dan kerana solat tidak sah melainkan dengan niat yang ikhlas kerana
Allah Taala. Beliau berpendapat bahawa perkara ini sayugianya dijauhi dan
sebaiknya orang ramai melakukan amalan-amalan yang telah dinyatakan di dalam
hadis yang telah disebut di awal kitab walaupun hadis tersebut dhoif. Ini
kerana melakukan amalan yg bersandarkan hadis dhoif lebih baik dari melakukan
amalan yang baharu yang tidak ada asalnya. Ini merupakan ijtihad beliau dalam
masalah tersebut.
Sebahagian ulama' pula berpendapat
diharuskan bacaan Yaasin dan solat sunat pada malam tersebut. Pendapat inilah
yang menjadi amalan majoriti masyarakat nusantara. Imam Suyuthi di dalam kitab
beliau 'Amalul Yaumi Wallailah meriwayatkan sebuah hadis tentang kelebihan
orang yang membaca Yaasin pada siang dan malam hari kerana mengharap keredhaan
Allah, maka akan Allah akan mengampunkan dosanya.
Berdasarkan keumuman hadis ini, maka tidak
ada tegahan sama sekali untuk kita membaca surah Yaasin pada bila-bila masa.
Hanya saja ulama' mengkhususkan malam nisfu Sya'ban untuk membaca Yaasin kerana
terdapat pada malam tersebut fadhilat yang besar yang tidak seharusnya
disia-siakan oleh pencari redha ilahi. Dan tidaklah bererti pembacaan Yasin
pada malam tersebut menjadi suatu kewajipan atau kefardhuan ke atas umat Islam,
tetapi ia hanyalah salah satu bentuk amal kebaikan yang boleh dilakukan pada
malam nisfu Sya'ban dan pada malam-malam selainnya.
Adapun solat sunat yang dilakukan dengan
niat tertentu, maka ia adalah salah satu bentuk tawassul dengan amal soleh
(iaitu solat tersebut) agar diperkenankan hajatnya. Dalam masa yang sama, ia
juga termasuk dalam solat hajat yang disepakati oleh ulama' akan keharusan
untuk melaksanakannya. Selain itu, terdapat sebuah hadis riwayat Imam
At-Thabrani bahawa barangsiapa yang bersolat 6 rakaat selepas solat Maghrib
maka akan diampuni dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. Sila rujuk kitab
Syeikh Zaki Ibrahim bertajuk Usul Al-Wushul, bab Malam Nisfu Sya'ban.
Selain itu, kita dapati di dalam kitab
Syeikh Abdullah Al-Ghumari, beliau tidak membenarkan amalan tersebut kerana
kesalahan i'tiqod pelakunya. Hal ini seolah-olah disepakati oleh Syeikh Zaki
Ibrahim tatkala beliau menyebut dihujung perbahasan bab ini: "Yang penting
dalam urusan ini, pelakunya tidak beri'tiqod bahawa perbuatan tersebut adalah
syariat yang sabit, barangsiapa yang menyalahinya maka ia telah bersalah dan
berdosa, sebaliknya ia hanyalah fadhail a'mal yang diperbolehkan bagi sesiapa
yang ingin melakukannya...".
Kesimpulannya, ulama' sufi berbeza pendapat berkenaan masalah ini. Wallahua'lam.
*Penerangan lanjut sila baca kitab حسن البيان في ليلة النصف من شعبان
*Download
kitab disini.
No comments:
Post a Comment