Pages

Thursday, October 9, 2014

Kitab Bida'u At-Tafasir (tafsir-tafsir yang bid'ah) karya Syeikh Abdullah Al-Ghumari


Sewaktu berjalan-jalan dalam maktabah Syeikh Ma' Ainain di Madinah Tiznit, Maghribi dalam usaha memburu hasil karya keluarga Al-Ghumari, saya telah berjaya menemui sebuah kitab tulisan Syeikh Abdullah Bin Muhammad Bin Siddiq Al-Ghummari Al-Hasani Al-Idrisi berjudul كتاب بدع التفاسير yang dijual dengan harga 25 dirham. Saya terus membeli kitab tersebut tanpa berfikir panjang memandangkan tulisan-tulisan beliau yang berharga ini amat sukar untuk dimiliki dengan harga yang murah sebegini.

Secara ringkasnya, tulisan beliau ini mengumpulkan tafsir-tafsir yang menyimpang dari manhaj ahli tafsir yang sebenar seperti penafsiran-penafsiran i'tizaliy, israiliyyat, pelampau dari kalangan sufi dan lain-lain. Syeikh Abdullah telah mendatangkan contoh-contoh penafsiran bathil tersebut dari dua jenis kitab tafsir:


  1. Tafsir-tafsir Muktazilah seperti Tafsir Abi Muslim Al-Asfahani, Abi Ali Al-Jubbaie dan Zamakhsyari. Bid'ah yang berlaku dalam kitab-kitab tafsir mereka ini berpunca dari dua sebab. Pertama: mereka menafsirkan Al-Quran dengan akal sehinggakan mereka menolak hadis-hadis sohih yang menafsirkan sesuatu ayat jika ia bertentangan dengan pandangan mereka. Kedua: mereka menjadikan kaedah mazhab Muktazilah (seperti Al-Quran adalah makhluk, manusia menjadikan perbuatan mereka sendiri, mustahil melihat Allah dan lain-lain) sebagai usul dalam penafsiran Al-Quran. Oleh itu, mereka mentakwil ayat-ayat yang bertentangan dengan kaedah mazhab mereka.
  2. Tafsir-tafsir sebahagian Mu'asirin seperti Al-Mushaf Al-Mufassar karangan Muhammad Farid Wajdi, Audhoh At-tafsir karangan Muhammad Abdul Latif Al-Khotib, Tafsir Abi Zaid Ad-Damanhuri dan Taisir Al-Quran Al-Karim lilqiraati wal Fahmi Al-Mustaqim karya Abdul Jalil Isa.
Sebelum menyenaraikan kesalahtafsiran yang berlaku dalam kitab-kitab tersebut, beliau menerangkan scara ringkas berkaitan usul tafsir; lafaz-lafaz Al-Quran dan Ahadits dapat dibahagikan kepada dua keadaan:
  • Keadaan pertama: Lafaz-lafaz yang terhalang dari majaz. Dan ia terbahagi kepada dua jenis; Pertama: lafaz-lafaz berkaitan tauhid dan iman seperti surah Al-Ikhlas,azab kubur dan kebangkitan semula, dan yang berkaitan dengan syariat seperti solat, zakat dan haji, hal-hal ini tidak ada padanya majaz kerana ia akan menafikan tujuan pensyariatan dan membawa kepada kerosakan syariat. Kedua: ayat-ayat yang menceritakan perihal umat-umat dahulu dan dialog-dialog mereka. Majaz juga terhalang dari ayat-ayat ini kerana beberapa sebab antaranya adalah perbezaan bahasa umat dahulu, oleh itu, lafaz-lafaz yang digunakan dalam bahasa arab sebagai majaz tidak semestinya digunakan sebagai majaz dalam bahasa mereka.
  • Keadaan kedua: lafaz-lafaz yang terhalang dari hakikat seperti firman Allah الرحمن على العرش استوى dan yang seumpamanya. Para salaf mentafwidh ayat-ayat ini manakala khalaf mentakwil dengan makna majazi yang makruf dalam bahasa arab. Namun sebahagian mujassimah yang jahil mengisbatkan hakikat ayat-ayat tersebut dan menyifatkan Allah dengan tangan, mata, duduk, dan datang.
Syeikh Abdullah juga menerangkan bahawa ahli tafsir mestilah: 
  1. Tidak terikat dengan pandangan-pandangan mazhab dan aqidah. Hal ini telah terjadi kepada Al-hafiz At-Tohawi Al-Hanafi, Al-Baihaqi Asy-Syafie, dan Al-Baji Al-Maliki.
  2. Tidak mengeluarkan pendapat yang bertentangan dengan hadis-hadis sohih yang menafsirkan ayat-ayat Al-Quran.
  3. Hendaklah menafsirkan ayat dengan makna-makna yang makruf dalam kalangan arab pada waktu penurunan Al-Quran.
  4. Menghindari penafsiran menggunakan lafaz-lafaz yang pelik dan i'rob-i'rob yang dhoif atau syaz kerana perkara tersebut menafikan kefasihan Al-Quran.
Berdasarkan pembacaan kitab ini, saya dapati beliau menolak tafsir israiliyyat sekeras-kerasnya, beliau menzahirkan kekecewaan dan rasa pelik beliau terhadap ulama'-ulama' besar ummah yang diakui keilmuan mereka dalam pelbagai lapangan ilmu, namun masih menafsirkan Al-Quran berdasarkan tafsiran israiliyyat. Adakah Al-Quran dan sunnah tidak cukup untuk dijadikan panduan dalam mentafsirkan Kalamullah?!

Al-Allamah menutup perbahasan kitab beliau ini dengan menerangkan makna ringkas tafsir isyari dan memberi komen ringkas dan padat berkaitan kitab-kitab tafsir yang masyhur dan ma'ruf. Beliau kemudiannya menceritakan kisah hidup beliau bermula dengan menyatakan nasab keturunan beliau, seterusnya pendidikan beliau sejak kecil sehingga ke Fes dan seterusnya ke Mesir sehingga beliau diiktiraf sebagai seorang mahaguru atau Allamah. Beliau juga menceritakan beberapa kejadian-kejadian menarik dalam hidupnya.

Kesimpulannya, buku ini wajib dimiliki oleh semua pencinta Al-Allamah Sayyidina Abdullah Bin Muhammad Bin Siddiq Al-Ghummari!!


*Muat turun kitab dalam format pdf di sini.

1 comment:

  1. Play Casino Site - Lucky Club Live Casino
    The home of the best gaming & live casino games is now available to new and experienced players. This is the place where you luckyclub.live can play a wide range of

    ReplyDelete