gambar hiasan |
Sabda Nabi Shollallahu 'Alaihi Wasallam:
إن الله يبعث لهذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها
"Sesungguhnya Allah mengutuskan bagi umat ini pada awal setiap seratus tahun orang yang memperbaharui bagi umat ini agama mereka"
~hadis riwayat Abu Dawud, Al-Hakim dan Al-Baihaqi, dari Abi Hurairah Radhiyallahu 'Anhu~
Al-Munawi telah menaqalkan kata-kata Al-Hafiz Ibn Katsir: "Setiap kelompok telah mendakwa bahawa Imam-Imam mereka adalah yang dimaksudkan dalam hadis ini. Adapun zahir hadis tersebut menunjukkan bahawa ia merangkumi sejumlah bilangan ulama' dari setiap kelompok dan kumpulan dari kalangan mufassir, muhaddits, faqih, nahwiy dan lain-lain."
Perkara yang memerlukan kepada pembaharuan (tajdid) tidaklah terhad kepada satu perkara atau satu jenis kebaikan, dan tidaklah wajib terkumpul segala kebaikan tersebut pada satu individu. Namun perkara yang demikian (terkumpulnya segala kebaikan pada individu yang satu) telah didakwa berlaku pada Umar Bin Abdul Aziz, sesungguhnya beliau adalah mujaddid pada awal kurun yang pertama, dengan tersifatnya segala kebaikan pada dirinya. Adapun para mujaddid yang datang setelah itu maka hal mereka tidaklah sebegitu. Imam Asy-Syafie yang merupakan mujaddid awal kurun kedua contohnya, walaupun terkumpul padanya sifat-sifat yang baik, namun beliau bukanlah orang yang mengatur arahan jihad dan menyelia pentadbiran negara yang adil. ~ rujuk Fathul Bari dan Faidhul Qodir.
Berdasarkan pemerhatian ini, dapatlah dikatakan bahawa setiap individu yang memiliki salah satu kebaikan pada awal kurun tersebut maka dialah yang dimaksudkan dari hadis tersebut. Oleh itu, boleh jadi bilangan mujaddid lebih dari seorang pada satu-satu kurun, melihat kepada penguasaan sesuatu perkara oleh individu yang berbeza-beza.
Syeikh Abdul Qadir Al-Mandili di dalam kitab Beliau "Al-Khozain As-Saniyyah" menyenaraikan nama para mujaddid beserta tahun wafat mereka bermula dari awal kurun pertama sehingga awal kurun ke-13:
- Umar Bin Abdul Aziz 101H
- Imam Asy-Syafie 204H
- Qadhi Ahmad Bin Umar Bin Suraij 306H
- Syeikh Abu Hamid Ahmad Bin Muhammad Al-Isfirayini 406H
- Hujjatul Islam Muhammad Bin Muhammad Al-Ghazali 505H
- Fakhruddin Ar-Razi Ibn Al-Khotib 606H
- Taqiyuddin Muhammad Bin Ali Bin Wahab (Ibn Daqiq Al-Eid) 702H
- Sirajuddin Umar Bin Ruslan Al-Bulqini 805H
- Jalaluddin Abdur Rahman As-Suyuthi 911H
- Syamsuddin Al-Jamal Muhummad Bin Ahmad Ar-Romli 1004H
- Sayid Abdul Qadir Bin Abi Bakr Al-'Aydarus 1038H
- Syeikh Ahmad Bin Umar Ad-Dirobi Al-Misri 1151H
- Syeikhul Islam Abdullah Bin Hijazi Asy-Syarqowi 1227H
*Muat turun kitab الخزائن السنية dalam bentuk pdf di sini.
No comments:
Post a Comment