Pages

Friday, November 21, 2014

ASAS YANG WAJIB DIKETAHUI SETIAP MUSLIM AGAR BERHATI-HATI DALAM MENGHUKUM SYIRIK/KAFIR


ASAS PERTAMA:

Pada asasnya, setiap perbuatan yang disandarkan kepada seseorang muslim hendaklah dihukumi sesuai dengan bentuk-bentuk andaian yang tidak bercanggah dengan asas tauhid, dan kita tidak boleh tergesa-gesa dalam melontarkan perkataan kafir dan syirik kepadanya, sesungguhnya keislamannya adalah suatu bukti yang kuat, yang mewajibkan kita agar tidak mengandaikan perbuatannya dengan suatu andaian yang membawa kepada kekufurannya. Ini adalah kaedah umum yang patut bagi setiap muslim menerapkannya pada setiap perlakuan saudara-saudaranya yang seagama. 

Imam Malik Rahimahullah yang digelar sebagai Imam Daril Hijrah telah mengungkapkan kaedah tersebut dengan kata-katanya:

من صدر عنه ما يحتمل الكفر من تسعة وتسعين وجه ويحتمل الإيمان من وجه حمل أمره على الإيمان
“Barangsiapa yang disandarkan terhadapnya suatu perbuatan yang boleh diandaikan kekufuran (pelakunya) melalui sembilan puluh sembilan bentuk (andaian) dan boleh diandaikan keimanan (pelakunya) melalui satu bentuk (andaian), maka dihukumi perbuatannya itu atas keimanan.”

Kami akan memberikan contoh bagi yang demikian. Dua contoh dalam bentuk perkataan dan contoh yang ketiga dalam bentuk perbuatan.

·        Perkataan yang berkait dengan perbuatan Allah: orang Islam beriman bahawasanya Allahlah yang Maha Berkuasa menghidupkan orang yang telah mati, dan mereka juga berkeyakinan bahawa Sayyidina Isa menghidupkan orang mati dengan izin Allah, dan baginda tidaklah berkuasa menghidupkan yang demikian itu dengan sendirinya, hanya sahaja perkara tersebut terjadi dengan kuasa dan kehendak Allah. Nasrani juga berkeyakinan bahawa Nabi Isa menghidupkan orang mati, tetapi perkara itu terjadi dengan kekuatan Nabi Isa sendiri, dan mereka berkeyakian bahawa baginda adalah Allah, atau anak Allah, atau salah satu dari usul-usul tuhan seperti yang mereka imani. Berdasarkan penerangan ini, apabila kita mendengar seorang muslim yang mentauhidkan Allah menyebut: “aku meyakini Al-Masih Isa menghidupkan orang yang telah mati” dan kata-kata ini sama seperti ucapan nasrani, maka tidak sepatutnya kita menyangka bahawa muslim itu tadi telah menjadi nasrani dengan ucapan ini, bahkan kita menghukum ucapannya itu berdasarkan makna yang sesuai dengan keislamannya dan menepati aqidah tauhid.

·        Perkataan yang berkait dengan perbuatan hamba: orang Islam beriman bahawasanya perbuatan istighasah (mohon bantuan) dengan erti kata ibadah tidak dilakukan melainkan kepada Allah. Dan mereka juga meyakini bahawa memohon pertolongan dari makhluk pada perkara yang diperbolehkan bukanlah suatu ibadah, bahkan ia adalah permintaan yang dibolehkan, yang mana permintaan tersebut ditujukan kepada sesuatu yang menjadi penyebab terjadinya sesuatu perkara.[1] Apabila kita mendengar seseorang muslim meminta bantuan pada selain Allah, maka kita hukumi kata-katanya itu sebagai suatu permintaan sebab, bukan sebagai ibadah, dan kita tidak boleh menyangka bahawa dia telah syirik dengan perkataannya itu kerana keislamannya melazimkan dirinya mentauhidkan Allah.

Berkata Al-Imam Al-Ushuli Syamsuddin Al-Jazari - pensyarah kitab Minhaj karangan Imam Al-Baidhowi - : “Iktiqod keesaan Allah termasuk dari perkara-perkara yang mewajibkan keislaman seseorang, maka tatkala kita melihat seorang muslim beristihgasah dengan makhluk kita telah ketahui secara pasti bahawa dia tidak mensyirikkan makhluk itu dengan Allah, hanya sahaja perkataannya itu adalah permohonan bantuan atau tawajjuh kepada Allah dengan berkat makhluk tersebut.”[2]

·        Perbuatan: orang Islam beriktiqod bahawa amal ibadah tidak boleh dilakukan melainkan kepada Allah, manakala orang musyrik beriktiqod ibadah boleh dilakukan kepada selain Allah. Oleh itu, tatkala disandarkan kepada seorang muslim suatu perbuatan yang boleh diandaikan sebagai ibadah dan boleh juga diandaikan sebagai bukan ibadah, maka wajib perbuatannya dihukumi dengan hukum yang sesuai dengan aqidahnya sebagai muslim. Ini kerana barangsiapa yang telah tetap baginya hukum Islam secara yakin maka tidak jatuh hukum keislamannya itu dengan barang yang meragukan (syak) dan barang yang mempunyai berbagai kemungkinan (ihtimal). Dan kerana sebab inilah, tatkala Sayyidina Muaz Bin Jabal Radhiyallahu ‘anhu bersujud kepada Nabi Shollallahu Alaihi Wasallam (seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dan disohihkan oleh Ibn Hibban), Baginda melarang beliau dari melakukannya, tetapi Nabi tidak mensifatkan perbuatannya itu sebagai syirik atau kufur. Dan telah jelas bahawa Sayyidina Muaz Radhiyallahu ‘anhu - yang merupakan umat Nabi yang paling arif dalam bab halal dan haram - bukanlah tidak mengetahui bahawa sujud adalah ibadah, dan ibadah tidak boleh dilaksanakan melainkan kepada Allah, akan tetapi, apabila perbuatan sujud tersebut berkemungkinan menjadi suatu bentuk perbuatan yang tidak bermaksud menyembah perkara yang disujud itu, maka tidak boleh perbuatan itu dihukumi sebagai ibadah apabila ia disandarkan kepada muslim, dan tidak boleh menghukum kafir keatasnya secara serta-merta. Al-Hafiz Az-Zahabi menyebut: “tidakkah kamu melihat para sahabat yang amat berlebihan kecintaan mereka kepada Nabi Shollallahu alaihi wasallam, mereka berkata: tidakkah kami bersujud kepadamu? Maka Baginda berkata: tidak. Jikalau Baginda mengizinkan nescaya mereka bersujud kepadanya dengan sujud penghormatan, bukan dengan sujud ibadah, seperti mana telah bersujud saudara-saudara Nabi Yusuf kepadanya. Begitu jugalah pendapat pada masalah sujudnya seseorang muslim kepada kubur Nabi sebagai suatu penghormatan, pelakunya itu tidak dihukumi kafir, tetapi perbuatan tersebut berdosa, maka hendaklah dia diajari bahawa perbuatan tersebut ditegah. Begitu juga masalah solat di perkuburan.”[3]

Berkata Imam Ibn Taimiyyah di dalam Majmuk Al-Fatawa: “adapun sujud maka ia adalah salah satu bentuk syariat, ini kerana Allah Taala telah memerintahkan kita untuk bersujud kepadaNya. Jikalau Dia memerintahkan kita agar bersujud kepada seseorang dari kalangan makhlukNya nescaya kita bersujud kepadanya sebagai mentaati perintahNya, kerana Dia suka untuk kita membesarkan orang yang kita sujud kepadanya itu, dan jikalau Allah tidak mewajibkan sujud tersebut maka ia tidak wajib dilakukan sama sekali. Maka sujudnya para malaikat kepada Adam Alaihissalam adalah ibadah, ketaatan dan satu cara mendekatkan diri kepada Allah. Dan sujud itu bagi Adam Alaihissalam adalah satu pemuliaan dan pembesaran darjat Baginda. Dan sujudnya saudara-saudara Nabi Yusuf kepadanya adalah satu penghormatan dan ucapan salam. Tidakkah kamu melihat jikalau Yusuf Alaihissalam bersujud kepada kedua ibu bapanya sebagai suatu penghormatan maka sujud itu tidak ditegah baginya. Dan tidak pula diceritakan bahawa Adam sujud kepada para malaikat, bahkan baginda dan keturunannya tidaklah diperintah melainkan untuk bersujud kepada Allah tuhan sekalian alam. Dan mungkin sebab yang demikian itu - wallahu a’lam - kerana mereka adalah sebaik-baik golongan, mereka itulah orang-orang soleh dari kalangan anak Adam, dan tiada seorangpun yang lebih tinggi (darjatnya) dari mereka, yang patut untuk disujud melainkan Allah.”

Pengingkaran terhadap asas pertama ini adalah jalan golongan khawarij, di mana Ibn Umar Radhiyallahu ‘Anhuma telah menerangkan bahawa ini adalah pintu kesesatan mereka dengan kata-katanya: “sesungguhnya mereka (khawarij) meluru kearah ayat-ayat yang diturunkan kepada kuffar dan menjadikan (hukum) ayat tersebut atas orang-orang beriman”


[1] Memohon pertolongan dari makhluk, yang mana makhluk itu tadi menjadi sebab terjadi sesuatu urusan, bukan makhluk tersebut yang menjadikan urusan itu. Contohnya momohon bantuan guru agar faham sesuatu pelajaran, maka guru itu menjadi penyebab kefahaman pelajar tersebut, adapun yang memberi kefahaman adalah Allah yang menjalankan urusan tersebut dengan perantaraan guru. - catatan penterjemah.
[2] Rujuk الإشارات الإلهية في المباحث الأصولية karangan Imam Najmuddin At-Thufi Al-Hambali.
[3] Rujuk معجم الشيوخ للإمام الذهبي




ASAS KEDUA:

Terdapat ketidaksamaan dan jurang perbezaan yang luas antara wasilah dan syirik. Wasilah adalah perbuatan yang diperintah melakukannya secara syara’ di dalam firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ[1]

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

Dan Allah telah memuji mereka yang bertawassul kepadaNya di dalam doa mereka:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ يَدْعُونَ يَبْتَغُونَ إِلَىٰ رَبِّهِمُ الْوَسِيلَةَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ وَيَرْجُونَ رَحْمَتَهُ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ ۚ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحْذُورًا[2]

orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti.

Wasilah dari segi bahasa: darjat ketinggian, penyambung antara dua perkara, dan amal kebaikan. Maka keseluruhan maknanya adalah: mendekatkan diri kepada Allah dengan setiap perkara yang disyariatkan olehNya. Dan termasuk dalam perkara yang disyariatkan itu adalah mentakzimkan kesemua tempat, masa, orang dan keadaan yang dimuliakan oleh Allah. Maka seorang muslim contohnya, akan berusaha untuk pergi menunaikan solat di Masjidil Haram dan berdoa di makam Nabi Shollallahu Alaihi Wasallam dan di Multazam kerana memuliakan tempat-tempat yang Allah muliakan. Dan dia berusaha mendapatkan malam lailatul qadar, dan berdoa pada waktu-waktu mustajab pada hari jumaat dan pada sepertiga malam kerana memuliakan waktu-waktu yang Allah muliakan. Dan dia juga mendekatkan diri kepada Allah dengan mencintai para Nabi, wali-wali dan orang-orang soleh sebagai memuliakan orang-orang yang dimuliakan oleh Allah. Dan dia berdoa ketika bermusafir, ketika turunnya hujan, dan pada keadaan-keadaan lain yang dimuliakan oleh Allah. Kesemua ini termasuk dalam firman Allah:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ[3]

Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

Adapun syirik maka ia adalah melakukan sesuatu dari amal ibadah yang hanya dilakukan kepada Allah, kepada selain Allah, walaupun perbuatan tersebut dilakukan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah, seperti firman Allah:

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَىٰ[4]

Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”

Dan hanya sahaja kami mengatakan “amal ibadah yang hanya dilakukan kepada Allah” untuk mengecualikan semua perkara yang berbeza dari ibadah pada isinya walaupun pada zahir namanya serupa. Maka doa boleh jadi ia adalah ibadah kepada yang didoa:

إِن يَدْعُونَ مِن دُونِهِ إِلَّا إِنَاثًا وَإِن يَدْعُونَ إِلَّا شَيْطَانًا مَّرِيدًا[5]

Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka

Dan boleh jadi bukan bermakna ibadah:

لَّا تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُم بَعْضًا[6]

Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu

Dan permintaan boleh jadi ia adalah ibadah kepada yang diminta:

وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِن فَضْلِهِ[7]

(maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya

Dan boleh jadi ia bukan ibadah:
لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ[8]

Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)

Memohon perlindungan boleh jadi ia adalah ibadah kepada yang dipohon perlindungan:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ[9]

Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.

Dan boleh jadi tidak, seperti hadis Abi Mas’ud Al-Badari dalam Sohih Muslim, sesungguhnya beliau telah memukul hambanya. Maka berkata hambanya: “aku memohon perlindungan kepada Rasulullah.” Maka beliau meninggalkannya (tidak memukulnya). Kemudian berkata Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wasallam: “Demi Allah, Allah lebih berkuasa keatasmu dari kekuasaanmu atas hambamu.” Lalu beliau memerdekakan hambanya itu.

Memohon bantuan boleh jadi ibadah kepada yang dipohon:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Dan boleh jadi tidak, firman Allah: وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk

Istighasah boleh jadi ia ibadah:

إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ

(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.

Dan boleh jadi tidak:

فَاسْتَغَاثَهُ الَّذِي مِن شِيعَتِهِ عَلَى الَّذِي مِنْ عَدُوِّهِ فَوَكَزَهُ مُوسَىٰ فَقَضَىٰ عَلَيْهِ ۖ قَالَ هَٰذَا مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ ۖ إِنَّهُ عَدُوٌّ مُّضِلٌّ مُّبِينٌ

Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: “Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya) “.

Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawa syirik hanya terjadi apabila mentakzimkan atau memuliakan sesuatu perkara sama seperti membesar dan memuliakan Allah. Firman Allah:

فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَندَادًا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).

Firman Allah Taala:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دُونِ اللَّهِ أَندَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِّلَّهِ

ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah.

Maka dengan ini, jelaslah bagi kita perbezaan antara wasilah dan syirik. Adapun wasilah maka ia adalah perbuatan memuliakan perkara yang Allah muliakan, yang membawa erti memuliakan Allah, sepertimana ketaatan kepada Rasul bererti ketaatan kepada Allah, dan membai’ah Rasul bererti membai’ah Allah. Adapun syirik maka ia adalah perbuatan memuliakan sesuatu beserta Allah atau memuliakan sesuatu selain Allah. Kerana inilah sujudnya para malaikat kepada Nabi Adam dikira Iman dan Tauhid manakala sujudnya orang kafir kepada berhala dikira kufur dan syirik, walaupun kedua-dua yang disujud tersebut adalah makhluk. Maka sujudnya malaikat beroleh pahala kerana memuliakan apa yang Allah muliakan dan mentaati perintahNya manakala sujudnya para kuffar menyababkan mereka beroleh balasan buruk dan dosa.

Berdasarkan asas ini, sebahagian ulama’ membina hukum keharusan bersumpah dengan perkara yang dimuliakan di dalam Islam seperti Nabi, Islam dan kaabah. Dan antara ulama’ tersebut adalah Imam Ahmad Bin Hanbal pada salah satu dari dua pendapat beliau. Jumhur ulama’ pula berpendapat bahawa bersumpah dengan selain Allah adalah ditegah kerana berpegang dengan zahir hadis yang melarang perkara tersebut.

Imam Ibn Al-Munzir Rahimahullah telah menyatakan bahawa ulama’ berbeza pandangan pada makna larangan bersumpah dengan selain Allah. Berkata sekumpulan ulama’: larangan tersebut dikhususkan bagi sumpah-sumpah jahiliyyah yang memuliakan selain Allah seperti Al-Lata dan Al-Uzza, adapun sumpah yang kembali kepada memuliakan Allah seperti Nabi dan Islam maka ia tidak termasuk dalam larangan tersebut. Mereka berhujjah dengan pendapat para sahabat yang mewajibkan orang yang bersumpah dengan perkara tersebut untuk melaksanakan sumpahnya (sepertimana orang yang bersumpah dengan nama Allah wajib untuk melaksanakan sumpahnya). Ini menunjukkan bahawa larangan tersebut bukanlah secara umum, jikalau tidak, nescaya para sahabat tidak akan mewajibkan sesuatu atas orang yang bersumpah itu.[10]

Oleh itu, jika berlaku perselisihan pendapat pada beberapa jenis tawassul seperti bertawassul dengan orang soleh, atau berlaku kesilapan pada perbuatan sebahagian ummat Islam seperti bersujud di kuburan, kita tidak boleh memindahkan perkara ini dari ruang lingkup wasilah ke daerah kesyirikan dan kekufuran. Jika kita melakukan perbuatan ini, bererti kita sudah mencampur adukkan perkara ini (wasilah, syirik, kufur) dan kita telah menyamakan antara memuliakan perkara yang Allah muliakan dengan memuliakan sesuatu beserta Allah.


*Bersambung..

*Terjemahan dan olahan fatwa Darul Ifta Mesir


[1] Surah Al-Maidah, ayat 35.
[2] Surah Al-Isra’ ayat 57.
[3] Surah Al-Hajj ayat 32.
[4] Surah Az-Zumar ayat 3.
[5] Surah An-Nisa’ ayat 117.
[6] Surah An-Nur ayat 63.
[7] Surah An-Nisa’ ayat 32.
[8] Surah Al-Maarij ayat 25.
[9] Surah An-Nahl, ayat 98.
[10] Sila rujuk kitab Fathul Bari untuk keterangan lanjut (11/535).

No comments:

Post a Comment