Pages

Friday, January 9, 2015

ASAS-ASAS TASAWWUF SYEIKH ZARRUQ AL-FASI


Ramai orang berusaha memerangi ilmu tasawwuf dan ahlinya dengan mendakwa bahawa golongan yang mengangkat panji tasawwuf, yang mendakwa mencintai para ahli bait dan para wali, membenci para fuqaha dan tidak mementingkan ilmu fiqh. Namun adakah dakwaan ini benar? Adakah imam-imam besar para sufi tidak mengambil berat akan ilmu fiqh? adakah ketulenan manhaj sesuatu aliran dilihat pada para mujtahidnya atau dilihat pada muqallid dan juhhal yang mendakwa dirinya berada di atas jalan seseorang mujtahid?

Syeikh Zarruq Al-Fasi Al-Maghribi merupakan tokoh agung ilmu tasawwuf. Beliau banyak mentahqiq permasalahan berkaitan ilmu tasawwuf dan pengamalannya. Penulisan beliau yang paling unggul adalah sebuah kitab berjudul Qawaid Tasawwuf. Kitab ini boleh dianggap sebagai salah satu rujukan penting berkenaan asas-asas ilmu tasawwuf. Mari kita kaji petikan kitab ini yang menjelaskan bahawa ilmu tasawwuf amat mementingkan ilmu fiqh, bahkan meletakkan ilmu tersebut pada tempat pertama berbanding ilmu tasawwuf.

****

ASAS KE-22
Tidak Sah beramal dengan sesuatu perkara melainkan setelah mengetahui hakum dan caranya. Maka kata-kata "aku tidak akan mempelajari sesuatu sehinggalah aku melakukannya" sama seperti kata-kata "aku tidak akan berubat sehinggalah penyakitku hilang." Maka dia tidak akan berubat dan penyakitnya tidak akan hilang. Sebaliknya (mestilah dimulai dengan) ilmu, kemudian amal, kemudian sebar dan memberi manfaat. Wabillahi taufiq.


ASAS KE-26
Hukum fiqh itu menyeluruh pada perkara yang umum, kerana tujuannya adalah untuk mendirikan urusan agama, dan menegakkan panjinya serta menzahirkannya. Dan hukum tasawwuf itu terhad pada perkara yang khusus, kerana ia adalah muamalah antara hamba dan tuhannya, tidak lebih dari itu. Maka dengan ini, boleh bagi faqih mengingkari sufi dan tidak boleh seorang sufi mengingkari faqih. Dan mestilah ilmu tasawwuf merujuk ilmu fiqh pada hukum-hakam dan hakikat-hakikat, tidak boleh (bagi ilmu tasawwuf untuk) menolak dan meninggalkannya. Dan boleh merasa cukup dengan fiqh tanpa tasawwuf, tetapi tidak cukup tasawwuf tanpa fiqh, bahkan tidak sah tanpanya. Dan tidak boleh kembali kepada ilmu tasawwuf melainkan disertai ilmu fiqh, walaupun ilmu tasawwuf itu lebih tinggi martabatnya, maka ia (fiqh) lebih selamat dan lebih umum kemaslahatannya.

***

Dua asas ini suduh mencukupi bagi ahli ilmu untuk menyingkap hakikat sebenar ilmu tasawwuf. Kitab Qawaid Tasawwuf karangan Syeikh Zarruq ini mengandungi 225 asas-asas ilmu tasawwuf, namun saya hanya sempat untuk menyenaraikan dua asas berkaitan fiqh dan tasawwuf, bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut bolehlah merujuk kitab berkenaan. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment